KUALA LUMPUR – Kumpulan legenda muzik tanah air, KRU, melakar satu lagi detik bersejarah apabila menerima dua pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBR) menerusi penganjuran Konsert GenKRU 2025 yang mencetus fenomena luar biasa di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Trio adik-beradik terkenal yang dianggotai oleh Dato’ Norman Abdul Halim, Dato’ Yusry Abdul Halim dan Edry Abdul Halim menerima anugerah Most Show in a Single Concerts Series atas kejayaan menganjurkan persembahan selama empat malam berturut-turut pada 3, 4, 10 dan 11 Mei 2025.

Penganjuran ini menjadikan mereka artis tempatan pertama mencatat rekod persembahan terbanyak dalam satu siri konsert di Malaysia.

Mewakili kumpulan KRU,  Norman berkata, kejayaan itu bukanlah semata-mata milik mereka, tetapi penghargaan yang ditujukan kepada peminat yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan sejak lebih tiga dekad lalu.

“Pencapaian ini adalah sebuah apresiasi bukan untuk KRU secara peribadi tetapi buat peminat yang telah menjadikan Konsert GenKRU 2025 daripada rencana asal hanya satu malam kepada dua, tiga sehingga empat malam.

“KRU seharusnya berterima kasih terhadap sokongan tanpa henti selama lebih tiga dekad kami berada dalam industri,” katanya.

Sementara itu, penganjur konsert, Icon Entertainment (M) Sdn. Bhd. turut mencipta sejarah apabila menerima pengiktirafan Most Concert Tickets Sold Out in an Hour, selepas mencatat jualan tiket sebanyak 8,000 unit dalam tempoh hanya satu jam.

Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang berkata, kejayaan ini sebagai bukti kukuh bahawa produk hiburan tempatan masih mempunyai tempat istimewa di hati rakyat Malaysia.

“Terima kasih kepada pihak MBR atas pengiktirafan ini. Kami di Icon Entertainment dengan sukacita berkongsi penghormatan ini bersama semua peminat KRU yang telah menjadikan Konsert GenKRU cukup luar biasa.

“Bukan sahaja kerana rekod jualan tiket yang pantas, tetapi juga kerana sambutan hangat yang menyebabkan konsert ini dilanjutkan hingga empat malam,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia, khususnya Kementerian Komunikasi, atas sokongan yang berterusan dalam memperkasa industri seni dan hiburan kreatif negara.

Konsert GenKRU 2025 yang berlangsung selama empat malam dihadiri oleh lebih 30,000 peminat dan dimeriahkan dengan kemunculan istimewa artis jemputan seperti kumpulan Feminin, Elite dan Adam AF, sekali gus mengimbau nostalgia era kegemilangan muzik Malaysia yang tidak pernah pudar dalam ingatan peminat.

Dengan kejayaan luar biasa ini, KRU dan Icon Entertainment bukan sahaja mencipta sejarah baharu dalam industri hiburan tanah air, malah menjadi pencetus semangat kepada penganjur dan artis tempatan lain untuk terus mengangkat martabat hiburan tempatan ke tahap yang lebih tinggi.

By Cynthia

Leave a Reply