Jangan Remehkan Kesetiakawanan Dalam Kerajaan Perpaduan
KUALA LUMPUR, 30 Mei 2025 — UMNO masih belum menerima sebarang surat rasmi berhubung perletakan jawatan YB Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz daripada parti itu, demikian menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki hari ini.
Kenyataan tersebut hadir susulan hantaran di laman sosial peribadi Tengku Zafrul yang menyatakan hasrat beliau untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
“UMNO memandang serius niat perletakan jawatan beliau kerana ingin menyertai PKR,” ujar Dr Asyraf.
Tambah beliau, tindakan menerima keahlian daripada ahli parti-parti lain dalam Kerajaan Perpaduan tanpa proses yang beretika dan teratur boleh mengundang ketegangan dan prejudis dalam kalangan parti gabungan.
“Adalah amat tidak wajar untuk mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan menerima keahlian daripada ahli parti-parti lain sewenang-wenangnya. Ini bagi mengelakkan berlakunya ketidakharmonian… hingga tercetus pula prasangka mengenai tahap kesetiakawanan dan keikhlasan sesama ahli,” tegasnya.
UMNO menyeru semua parti dalam Kerajaan Perpaduan agar memelihara semangat muafakat dan tidak mengambil tindakan yang boleh menjejaskan perpaduan dalam kerajaan yang sedang memerintah.

#UMNO #TengkuZafrul #PKR #KerajaanPerpaduan #AsyrafWajdi #PolitikMalaysia #BeritaTerkin #IsuSemasa #KesetiaanParti #PerpaduanPolitik