KUALA LUMPUR, 2 Jun 2025 – Badan Perhubungan Pemuda UMNO Negeri Selangor merakamkan penghargaan kepada semua 1,136 cawangan Pemuda yang berjaya melaksanakan mesyuarat persidangan antara 7 April hingga 25 Mei 2025. Melibatkan lebih 17,000 ahli di seluruh 22 Bahagian UMNO Selangor, kejayaan ini menggambarkan kekuatan akar umbi serta kesinambungan perjuangan Pemuda UMNO dalam landskap politik semasa.
Menurut Ketua Pemuda UMNO Negeri Selangor, Dato’ Mohd Imran Tamrin, kejayaan ini menunjukkan institusi Pemuda masih utuh dan mampu menjadi pemacu nilai tambah kepada peranan UMNO Selangor dalam Kerajaan Perpaduan.
Dalam pada itu, Pemuda UMNO Selangor menegaskan bahawa menjelang Pilihan Raya Umum atau Negeri Ke-16, peranan Pemuda harus diperkasa sebagai pemegang taruh strategik, khususnya dalam mendekati dan memperjuangkan nasib generasi muda Melayu dan Bumiputera.
Pemuda UMNO Selangor juga menyuarakan kebimbangan terhadap draf Penggubalan Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB). Mereka menuntut jaminan perlindungan terhadap pegangan Melayu/Bumiputera dalam pembangunan bandar, dan mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Khas bagi memperhalusi cadangan pindaan akta tersebut.
Dalam isu perletakan jawatan YB Senator Dato’ Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dari UMNO dan penyertaannya ke PKR, Pemuda UMNO Selangor menyifatkannya sebagai langkah tidak bertanggungjawab. Mereka menegaskan bahawa komposisi anggota kabinet daripada UMNO harus dikekalkan demi kestabilan dan integriti Kerajaan Perpaduan.
Sebagai langkah memperkukuh suara rakyat, khususnya orang muda Melayu/Bumiputera, Pemuda UMNO Selangor turut mengumumkan pengaktifan semula Skuad Tempur Pemuda Selangor (STEP) sebagai entiti hadapan yang akan memperjuangkan isu-isu melibatkan kepentingan Melayu, Islam dan institusi Raja-Raja Melayu.
Akhirnya, Dato’ Imran merakamkan penghargaan kepada semua pemimpin dan ahli Pemuda UMNO Selangor atas sokongan sepanjang sesi 2023–2026 dan menyeru agar Mesyuarat Persidangan Pemuda Bahagian yang akan berlangsung bermula 9 Jun hingga 27 Julai 2025 dimanfaatkan sebagai platform penting untuk mengukuhkan perjuangan parti.
#PemudaUMNOSelangor #PRU16 #SkuadTempurSelangor #AnakMudaBersuara #SelangorBangkit #KekalPerpaduan #KedaulatanMelayu #PSB2025 #UMNOSelangor #SuaraPemuda