×

YIM Dorong Inovasi Akar Umbi ke Arah Komersialisasi dan Pemulihan Ekosistem Negara

YIM Dorong Inovasi Akar Umbi ke Arah Komersialisasi dan Pemulihan Ekosistem Negara

RM3.6 Juta Pulangan dari RM300K: Bukti Inovasi YIM Bawa Impak Nyata

KUALA LUMPUR, 5 Jun 2025 – Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), terus memperkukuh peranannya dalam memacu pembangunan inovasi akar umbi dan sosial di negara ini sejak penubuhannya pada Oktober 2008.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif YIM, Dr. Sharmila Mohamed Salleh, YIM komited dalam mengenal pasti dan menyokong inovasi tempatan dengan menyalurkan dana pembangunan bersesuaian, terutamanya kepada projek berpotensi tinggi yang lahir daripada pelajar institusi pengajian tinggi serta individu yang sering terhenti di peringkat prototaip.

“Kita bantu dari tahap Technology Readiness Level (TRL) 3 sehingga TRL 6 — membawa inovasi ke fasa pra-komersialisasi melalui pelbagai sokongan seperti ujian keberkesanan, pensijilan, dan verifikasi makmal,” jelas Dr. Sharmila.

Antara kejayaan terbaru yang diketengahkan ialah projek pemulihan gamat emas di perairan Langkawi – spesies unik yang hanya terdapat di Malaysia dan kini diancam kepupusan. Melalui kerjasama pelbagai agensi termasuk Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), serta institusi penyelidikan seperti USM dan UMT, sebanyak 20 induk dan 200 juvenil gamat telah dilepaskan ke habitat semula jadi sebagai langkah pemulihan.

Ahli Pemegang Amanah YIM, Ts. Noor Azmi Mat Said pula menyatakan bahawa inovasi akar umbi memainkan peranan penting kerana ia menyelesaikan masalah setempat secara praktikal, dan berpotensi dikembangkan ke kawasan lain melalui sokongan struktur dan bimbingan daripada YIM.

“Kadangkala inovator hanya fokus kepada komuniti mereka, tetapi dengan bantuan YIM, inovasi itu boleh dikembangkan secara lebih meluas dan berdaya saing,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dr. Sharmila turut menekankan peranan teknologi dalam menangani isu-isu nasional seperti penuaan penduduk. Menjelang tahun 2050, dijangka seramai 9 juta warga emas di Malaysia mungkin tidak lagi aktif bekerja. Inisiatif seperti Golden STI sedang dibangunkan bagi menghubungkan inovasi teknologi dengan keperluan golongan tersebut — membuka ruang untuk peningkatan kualiti hidup serta peluang ekonomi baharu.

Sehingga kini, YIM telah mendanai lebih 220 projek dengan impak signifikan, termasuk projek pertanian kulat di Kelantan yang bukan sahaja menghasilkan pulangan pelaburan sebanyak RM3.6 juta daripada modal awal RM300,000, malah membuka peluang pekerjaan kepada 40 individu tempatan.

#InovasiAkarUmbi #YIMMalaysia #GamatEmasLangkawi #GoldenSTI #KomersialkanInovasi #InovasiUntukRakyat #MOSTIMalaysia #TeknologiSosial #ProjekImpaktif #MasaDepanSekarang