
KUALA LUMPUR, 9 Jun 2025 – Ketua UMNO Bahagian Batu merangkap Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim tampil mempertahankan Lembaga Zakat Wilayah Persekutuan (MAIWP) susulan tuduhan tular di media sosial yang mendakwa kelemahan dalam pengurusan agihan bantuan kepada golongan asnaf di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Menurut beliau, kritikan terbuka di platform seperti TikTok berkenaan kelemahan MAIWP bukan sahaja tidak adil, malah berpotensi menggugat kepercayaan masyarakat terhadap institusi penting umat Islam itu.
“Saya tiada masalah sekiranya terdapat kelemahan dan membaikinya, tetapi menjadikan MAIWP sebagai bahan tuduhan dan tohmahan sehingga meruntuhkan keyakinan umum adalah sangat tidak adil dan berniat jahat,” tegas beliau.
Datuk Gulam menegaskan, MAIWP kini menguruskan lebih 35,000 asnaf di Wilayah Persekutuan melalui pelbagai skim agihan zakat, dan sebarang kesilapan kecil tidak wajar diperbesarkan.
“Satu dua benda silap itu adalah kes-kes terpencil yang tak perlu disensasikan di sosial media, bak kata pepatah, ‘kerana nila setitik rosak susu sebelanga’,” tambahnya lagi.
Beliau turut mengingatkan bahawa para penerima zakat mempunyai saluran rasmi untuk menyampaikan aduan atau ketidakpuasan hati, tanpa perlu menularkan isu berkenaan secara terbuka.
Datuk Gulam turut mengakui kewujudan segelintir penerima bantuan yang menyalahgunakan dana zakat untuk tujuan yang tidak sepatutnya, termasuk membeli barangan mewah dan rokok.
“Banyak juga penerima bantuan dari MAIWP yang tidak jujur semata-mata untuk mendapatkan bantuan zakat,” katanya.
Sebagai penutup, beliau mengajak masyarakat untuk bersyukur dan tidak kufur nikmat, di samping menyeru agar semua pihak menghormati peranan petugas MAIWP yang bekerja keras demi membantu golongan memerlukan.
“Orang yang memberi lebih mulia dari orang yang menerima. Jangan sesekali kufur nikmat dan sentiasalah bersabar dalam sebarang kerumitan yang dihadapi,” ujarnya.
#MAIWP #ZakatBukanSensasi #AsnafWilayah #JanganFitnah #TularTikTok #KebenaranZakat #KetuaUMNOWP #PertahanMAIWP #EtikaPenerimaZakat #JanganKufurNikmat