KUALA LUMPUR, 19 Jun 2025 – Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa kecewa dan dukacita terhadap sebahagian keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan bahawa fatwa bertarikh 31 Julai 2014 tidak terpakai kepada SIS Forum (Malaysia) sebagai entiti atau pertubuhan, sebaliknya hanya kepada individu.
Baginda turut menyatakan persetujuan terhadap kenyataan media yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) hari ini berhubung isu tersebut.Sultan Sharafuddin menegaskan bahawa penggunaan perkataan “Islam” dalam nama dan penerbitan SIS Forum (Malaysia) berpotensi besar mengelirukan masyarakat Islam, sekaligus menimbulkan implikasi serius terhadap pemahaman dan kefahaman umat terhadap ajaran Islam sebenar.
Menyedari kedudukan Baginda sebagai Ketua Agama Islam Negeri Selangor, Baginda menggesa SIS Forum (Malaysia) agar menghentikan penggunaan nama “Sisters in Islam” dalam sebarang bentuk penerbitan atau platform yang dikaitkan dengan syarikat mereka, bagi mengelakkan penyalahgunaan nama suci “Islam” demi kepentingan pihak tertentu.
Kenyataan ini dikeluarkan oleh Selangor Royal Office sebagai respons terhadap perkembangan undang-undang terkini yang menyentuh sensitiviti umat Islam di negeri tersebut.
#SultanSelangor #SISForum #SistersInIslam #FatwaSelangor #MAIS #KeputusanMahkamah #IslamDiMalaysia #DaulatTuanku #PemakaianFatwa #KebenaranIslam



