https://vt.tiktok.com/ZSAY1pEmm

KUALA LUMPUR, 19 Ogos 2025 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah melaksanakan Ops Pematuhan Undang-Undang di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR), Kuala Lumpur, semalam.

Operasi bersepadu itu disertai seramai 30 pegawai penguat kuasa termasuk anggota dari Seksyen Penguat Kuasa KPDN WPKL dengan fokus terhadap premis perniagaan runcit dan restoran. Turut hadir ialah Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri, Tuan Mohd Shahran bin Mohd Arshad.

Dalam operasi tersebut, sebanyak 35 premis perniagaan telah diperiksa, manakala pihak KPDN mengeluarkan kompaun berjumlah RM7,000 di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723] serta Akta Timbang dan Sukat 1972 [Akta 71]. Antara kesalahan yang dikesan ialah kegagalan mempamerkan tanda harga bagi barang jualan serta penggunaan alat timbang dan sukat yang tidak ditentusahkan.

Menurut Pengarah KPDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohd Sabri bin Seman, sehingga Ogos 2025, pihaknya telah merekodkan ratusan kes berkaitan kesalahan penandaan harga serta penggunaan alat timbang dan sukat, dengan jumlah kompaun yang hampir mencecah RM100,000.

“Kita berharap para peniaga sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan. Pihak KPDN akan terus menjalankan pemeriksaan dari semasa ke semasa bagi memastikan pengguna dilindungi daripada sebarang bentuk ketidakpatuhan peniaga,” katanya.

Orang ramai turut dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan menyalurkan aduan sekiranya mengesyaki berlaku penyalahgunaan barang kawalan, penjualan barangan tiruan atau pelanggaran undang-undang perniagaan.

Sebarang aduan boleh dikemukakan melalui saluran rasmi KPDN berikut:

Portal: e-aduan.kpdn

Talian Bebas Tol: 1-800-886-800

E-mel: e-aduan@kpdn.gov.my

Aplikasi: Ez ADU KPDN

Pusat Arahan Penguatkuasaan: 03-8882 6088 / 6245

WhatsApp: 019-279 4317

#KPDN #OpsPematuhan #HargaBarang #PeniagaPatuhUndangUndang #KosSaraHidup #JalanTAR #PenggunaBijak #PenguatkuasaanKPDN #KompaunKPDN #LindungiPengguna

Leave a Reply

google.com, pub-1350607744479823, DIRECT, f08c47fec0942f