KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr. Azam Rauzan menyeru agar isu pemasangan bendera Malaysia secara terbalik tidak dijadikan bahan sensasi setiap kali sambutan Hari Kebangsaan.
Beliau berkata, walaupun tindakan memasang bendera terbalik dianggap menyinggung maruah dan kedaulatan negara, ia seharusnya ditangani secara berhemah dan matang, bukan dijadikan modal politik.
“Saya amat berterima kasih kepada YB Datuk Seri Reezal Merican kerana menyelesaikan perkara ini secara profesional dan berhemah. Namun saya terkilan apabila masih ada pihak yang memilih untuk mengadakan perhimpunan sedangkan isu ini boleh diselesaikan dengan baik,” katanya.
Mengulas tindakan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, YB Dr. Akmal Saleh yang lantang bersuara berhubung isu tersebut, Dr. Azam menegaskan bahawa UMNO adalah sebuah parti politik, bukannya NGO, dan setiap tindakan harus diukur dari segi kesannya kepada rakyat dan masa depan parti.
“Kalau kita gagal mengurus krisis dengan baik, rakyat akan menolak parti kita. Menjadi hero bendera tanpa menjaga kebijaksanaan politik tidak akan membawa faedah. Kita perlu ingat, kita perlukan sokongan semua kaum,” jelasnya.
Beliau menambah, sempena ulang tahun ke-68 kemerdekaan negara, masyarakat perlu menunjukkan kematangan dan mengelak daripada memperbesar-besarkan provokasi yang boleh mencetuskan perpecahan.
“Kita harus redakan keadaan, bukan menambah minyak ke dalam api. Semangat kemerdekaan adalah memupuk perpaduan dalam negara berbilang kaum, bukan mencetuskan permusuhan,” tegasnya.
Dr. Azam turut mengingatkan agar masyarakat berhenti mengulangi isu sama setiap tahun dan sebaliknya memberi fokus kepada mengukuhkan semangat patriotik sebenar demi kesejahteraan negara.
#Merdeka68 #BenderaMalaysia #PolitikMatang #UMNOMalaysia #AzamRauzan #PerpaduanNegara #SayangiMalaysiaku #PolitikBijak #IsuBendera #SemangatKemerdekaan