KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr. Azam Rauzan, menyuarakan kebimbangan terhadap masa depan Kerajaan Perpaduan yang dilihat semakin bercelaru dengan pelbagai isu dalaman, termasuk kemungkinan berlaku perpecahan dalam parti gabungan.

Menurut beliau, walaupun Kerajaan Madani mempunyai sisi positif, ia tidak terkecuali daripada kelemahan yang boleh menjejaskan kestabilan politik negara.

“Tiada kerajaan dalam dunia yang sempurna. Barisan Nasional yang mempunyai pengalaman puluhan tahun pun ada kelemahan, jadi Kerajaan Madani juga tidak terkecuali,” katanya.

Dr. Azam turut menegaskan bahawa masa depan UMNO dan Barisan Nasional bergantung sepenuhnya kepada pucuk pimpinan tertinggi parti. Beliau menasihatkan agar UMNO bijak membawa diri sama ada untuk kekal dalam Kerajaan Perpaduan atau bergerak solo pada masa depan.

Beliau menambah, tindak-tanduk pemimpin UMNO, termasuk Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh, memainkan peranan penting dalam menentukan penerimaan rakyat terhadap parti itu.

“Saya melihat isu dalaman parti perlu diselesaikan segera. Jika tidak, UMNO dan Barisan Nasional akan berdepan risiko kehilangan sokongan rakyat menjelang PRU16,” ujarnya.

Dr. Azam turut menyentuh kemungkinan berlakunya perpecahan besar dalam PKR, namun menegaskan beliau tidak mahu mengulas lanjut kerana ia melibatkan parti lain.

Sebaliknya, beliau memberi amaran bahawa jika isu-isu dalaman UMNO tidak ditangani dengan baik, ia akan menjadi liabiliti besar kepada Barisan Nasional dalam menghadapi pilihan raya akan datang.

“Saya bukan presiden, saya hanya Ketua Penerangan cawangan kecil yang sudah pencen, tapi saya percaya jika kepimpinan tidak bertindak segera, peluang BN untuk kembali bangkit pada PRU16 akan terjejas,” tegasnya.

#PolitikMalaysia #KerajaanPerpaduan #UMNO #BarisanNasional #KerajaanMadani #PRU16 #PolitikTerkini #IsuSemasa #UMNOvsMadani #MasaDepanMalaysia

Leave a Reply

google.com, pub-1350607744479823, DIRECT, f08c47fec0942f