MELAKA – Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bakal berlangsung diramal menyaksikan penguasaan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dengan jangkaan kemenangan sehingga 26 daripada keseluruhan kerusi yang dipertandingkan.
Penganalisis Politik, Dr. Norman Sapar berkata, berdasarkan penilaian awal secara formal, kedua-dua gabungan tersebut dilihat mampu memenangi sekitar 22 hingga 23 kerusi.
Bagaimanapun, dengan mengambil kira momentum kemasukan bersama serta pelbagai isu semasa yang membelenggu Kerajaan Madani ketika ini, angka kemenangan tersebut dijangka meningkat antara 24 hingga 26 kerusi.
Menurut beliau, senario politik di Melaka mempunyai kelainan tersendiri berbanding negeri-negeri lain seperti Negeri Sembilan, yang memerlukan gabungan analisis kuantitatif, kualitatif serta faktor luar jangka.
Mengulas lanjut, Dr. Norman menyifatkan PRN Melaka kali ini sebagai medan yang amat kritikal buat Pakatan Harapan (PH).
Beliau memerhatikan jentera PH kini bergerak secara habis-habisan dan menggunakan sepenuhnya kelebihan kuasa menerusi agensi serta kementerian tertentu demi meraih undi dan sokongan rakyat.
Namun, tegas beliau, pilihan raya negeri ini sebenarnya menjadi petanda serta penunjuk aras terakhir yang paling penting, khususnya buat parti DAP.
Keputusan di Melaka nanti bakal menterjemahkan tahap sebenar sokongan rakyat, terutamanya dalam kalangan pengundi masyarakat Cina terhadap parti komponen PH itu.
Berdasarkan pemerhatian semasa, Dr. Norman meramalkan beberapa kerusi utama yang sebelum ini dikuasai oleh DAP bakal berdepan cabaran sengit.
Beliau menjangkakan sekurang-kurangnya dua kerusi tradisi parti itu berisiko untuk berpindah tangan kepada pihak lawan.
Sekalipun kerusi-kerusi berkenaan tidak bertukar parti, kemerosotan sokongan yang signifikan daripada pengundi Cina terhadap DAP diyakini akan jelas kelihatan menerusi keputusan rasmi PRN Melaka kelak.
#PRNMelaka #PolitikMalaysia #BeritaAAC #
#AnalisisPolitik #KerajaanMadani