KUALA LUMPUR, 27 Oktober 2025 – Ketua UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr. Norman Sapar berpandangan bahawa persidangan ASEAN yang sedang berlangsung di Kuala Lumpur ketika ini mampu menjadi platform penting untuk memperkukuh imej Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX), terutamanya dalam mencorakkan hala tuju politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Menurut Dr. Norman, kehadiran pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, memberi peluang besar kepada Malaysia untuk memainkan peranan lebih strategik dalam arena diplomatik dan ekonomi serantau.
“Kita tahu sekarang sedang berlangsung persidangan ASEAN. Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pun berada di Kuala Lumpur. Adakah ini memberi satu imej yang baik kepada PMX untuk mengadakan PRU ke-16? Itu persoalan penting yang sedang diperhatikan oleh rakyat,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa terdapat dua isu utama yang boleh memberi kesan langsung kepada sokongan rakyat terhadap kerajaan pimpinan PMX – isu Palestin dan isu tarif antarabangsa.
“Pertama, isu Palestin. Sejauh mana PMX dapat menggunakan peluang ini untuk membincangkan sesuatu yang memberi kesan positif kepada Gaza akan menjadi penentu kepada persepsi rakyat terhadap kepimpinan beliau,” ujar Dr. Norman.
Tambahnya, isu tarif perdagangan juga merupakan aspek penting yang perlu dimanfaatkan.
“Kalau kehadiran Trump ini dapat dimanfaatkan oleh PMX untuk menurunkan kadar tarif terhadap Malaysia, ia akan memberi impak besar kepada ekonomi negara,” katanya lagi.
Jelas beliau, kedua-dua faktor ini – Palestin dan tarif perdagangan – berpotensi menjadi pemangkin kepada momentum politik baharu dalam negara, sekali gus menentukan sama ada PRU16 akan diadakan lebih awal daripada jangkaan.
“Jika PMX berjaya memanipulasi kehadiran Trump dan persidangan ASEAN ini dengan baik, tidak mustahil PRU16 boleh diadakan dalam masa terdekat,” katanya menutup ulasan.
#PMX #PRU16 #ASEAN2025 #DonaldTrump #DrNormanSapar #MalaysiaPolitics #IsuPalestin #TarifPerdagangan #AnwarIbrahim #DiplomasiMalaysia