KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr. Norman Sapar, menyifatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sebagai “parti pemecah belah Melayu” yang kini sedang menuju kehancuran akibat perpecahan dalaman dan kehilangan arah politik.

Menurut beliau, pergolakan yang semakin ketara dalam kalangan kepimpinan tertinggi BERSATU bukan lagi rahsia apabila timbul pelbagai kem berbeza yang bertelagah antara satu sama lain, malah ada yang cuba menyingkirkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri.

“Itulah masalah BERSATU ni — Parti Pemecah Belah Melayu, PPBM. Bila dia dah pecahkan UMNO, dia pecahkan diri sendiri, kemudian tak ada lagi arah tuju, akhirnya salahkan UMNO pula,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Dr. Norman berkata, tindakan BERSATU memecahbelahkan kekuatan Melayu suatu ketika dahulu kini berbalik kepada mereka sendiri apabila parti itu semakin hilang pengaruh dan kehilangan tapak, khususnya di Sabah.

“Kita tak hairan BERSATU akan terkubur dalam masa terdekat. Dan saya rasa nisan pertama yang akan menandakan kehancuran BERSATU adalah di Sabah,” tegas beliau.

Mengulas lanjut mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Dr. Norman menjelaskan bahawa BERSATU semakin kehilangan cengkaman selepas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, keluar parti dan menubuhkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Dulu kerajaan Sabah adalah di bawah BERSATU, tapi selepas Hajiji keluar dan tubuh GRS, pengaruh BERSATU makin pudar. Sekarang ini pun, kalau bertanding pun mungkin tak sampai 10 kerusi,” jelasnya.

Beliau menambah, keadaan ini jelas menunjukkan bahawa perpecahan demi perpecahan yang dicipta oleh BERSATU akhirnya menjadi ‘senjata makan tuan’, dan menjadi pengajaran kepada rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu, supaya tidak terus terpedaya dengan perjuangan yang memecah belahkan bangsa sendiri.

“Inilah akibatnya bila parti yang kononnya perjuangkan Melayu, akhirnya menikam belakang parti keramat Melayu — UMNO. Sekarang masa untuk mereka terima akibat,” katanya menutup kenyataan.

#BersatuBergolak #PartiPemecahBelahMelayu #UMNOBangkit #DrNormanSapar #PRNSabah2025 #PolitikMalaysia #PPBMMenujuHancur #GRSvsBersatu #UMNOKekalUtuh #SuaraMelayuBangkit

Leave a Reply