KUALA LUMPUR, 31 Oktober 2025 — Prosiding perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semakin menghampiri penghujungnya dengan sesi penghujahan balas pihak pembelaan hampir selesai hari ini.
Ketua UMNO Bahagian Bangi, Dato’ Dr Mohd Zaidi Md Zain, ketika ditemui selepas prosiding memaklumkan bahawa mahkamah menangguhkan sesi tersebut kerana waktu solat Jumaat dan akan bersambung semula pada Selasa depan, jam 9 pagi, bagi pihak pembelaan menyelesaikan hujahan akhir mereka. Keputusan dijadualkan akan diumumkan pada 26 Disember ini.
Menurut beliau, hujahan yang dikemukakan oleh peguam utama pembelaan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, cukup lengkap dan menyeluruh, khususnya dalam membuktikan bahawa tiada bukti kukuh yang mengaitkan Datuk Seri Najib dengan pertuduhan penyalahgunaan kuasa.
“Pihak pendakwa gagal mengemukakan bukti dokumentasi lengkap dan juga gagal membawa saksi utama seperti Jho Low yang dikatakan memainkan peranan utama dalam keseluruhan urusan dana 1MDB,” katanya.
Tambah beliau, semua saksi yang tampil setakat ini hanyalah menyampaikan keterangan bersifat hearsay atau “kata orang”, tanpa bukti langsung bahawa Datuk Seri Najib mengarahkan sebarang tindakan berhubung pelaburan atau aliran wang 1MDB.
“Jho Low adalah individu yang sepatutnya dipanggil untuk memberikan keterangan sebenar di mahkamah. Tetapi peliknya, beliau tidak dibawa, dan sebaliknya Datuk Seri Najib pula didakwa,” tegas Dato’ Dr Mohd Zaidi.
Beliau turut menegaskan bahawa berdasarkan hujahan Tan Sri Shafee, pendakwaan kini berada dalam keadaan sukar untuk membuktikan pertuduhan mereka memandangkan bukti yang dikemukakan tidak meyakinkan dan saksi utama masih gagal dikesan.
“Kalau mengikut logik dan hujahan undang-undang, kes ini sepatutnya sudah pun ditolak. Sekarang kita tunggu hujahan akhir pada Selasa nanti sebelum keputusan dibuat Disember ini,” ujarnya.
Prosiding hujahan akhir ini dijangka menjadi antara episod terakhir dalam kes berprofil tinggi tersebut yang telah berlarutan sejak beberapa tahun lalu.
#1MDBTrial #NajibRazak #TanSriShafee #MahkamahTinggi #KeadilanUntukSemua #PolitikMalaysia #UMNOBangi #IsuSemasa #BreakingNewsMalaysia #KebenaranAkanTerserlah
