KUALA LUMPUR, 2 Disember 2025 — Aktivis sosial merangkap Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, Dato’ Dr Kalaivanar, mengeluarkan satu kenyataan tegas pada jam 7.15 malam yang ditujukan kepada pimpinan negara termasuk Perdana Menteri, Ketua Pembangkang, para Senator serta Ahli-ahli Parlimen.

Menurut beliau, sehingga kini tiada sebarang maklum balas diterima daripada Kementerian Pengangkutan (MOT) berhubung memorandum yang diserahkan pada 19 November 2025 selepas satu demonstrasi aman yang dihadiri kira-kira 4,000 peserta, khususnya mewakili komuniti pemandu dan pengusaha lori.

Kalaivanar menyatakan rasa tidak puas hati kerana memorandum tersebut diterima oleh wakil Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), bukannya pegawai kanan kementerian seperti Setiausaha Sulit Kanan atau pegawai khas yang lazimnya mewakili kementerian dalam penyerahan rasmi.

Beliau mendakwa bahawa kegagalan mengeluarkan sebarang kenyataan balas dalam tempoh 48 jam sebagaimana diminta menunjukkan kelemahan keprihatinan terhadap isu rakyat. Menurutnya, pihak penganjur telah mengemukakan memorandum lengkap bersama cadangan solusi, namun masih belum menerima sebarang pengesahan penerimaan, makluman status semakan atau tindak lanjut daripada MOT.

Kalaivanar turut membandingkan keadaan ini dengan pengalaman lalu ketika pentadbiran mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Najib Razak, yang menurutnya memberikan maklum balas rasmi setiap kali memorandum dihantar.

Beliau mendakwa sikap tidak responsif itu bercanggah dengan konsep “Kerajaan Madani” yang menekankan unsur keprihatinan dan interaksi mesra rakyat. Jelasnya, pengusaha lori dan pemandu memainkan peranan penting dalam menjana ekonomi negara dan wajar diberi perhatian sewajarnya.

Kalaivanar turut mengingatkan bahawa sekiranya tiada tindakan diambil, pihaknya bersedia menganjurkan Himpunan 2.0, sebagai kesinambungan kepada tindakan 19 November lalu.

#AATVNews #IsuRakyat #Himpunan2_0 #PengangkutanMalaysia #MemorandumRakyat #SuaraMarhaen #AduanPemanduLori #KerajaanMadani #IsuSemasaMalaysia #AATVPortal

Leave a Reply