KUALA LUMPUR, 2 Disember 2025 — Aktivis Sosial dan Pengerusi Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, Dato’ Dr Kalaivanar menggesa kerajaan mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan isu lebih 700 hingga 800 belia Malaysia yang didakwa masih terperangkap di Kemboja selepas diperdaya sindiket pekerjaan.
Beliau berkata perkara itu amat membimbangkan kerana sehingga kini usaha membawa pulang mangsa hanya berlaku secara kecil-kecilan, sedangkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Kemboja berada dalam keadaan baik.
“Kita ada hubungan diplomat yang baik. Kita juga ada Perdana Menteri yang pintar dan prihatin. Jadi kenapa isu 700 rakyat kita ini masih tidak selesai?” katanya ketika ditemui media.
Menurutnya, sebagai sebuah negara yang mempunyai hubungan dua hala kukuh, penyelesaian isu ini seharusnya boleh dilakukan dengan lebih cepat melalui komunikasi langsung antara pemimpin tertinggi.
“Senang saja, telefon terus pemimpin di sana. Hantar satu atau dua pesawat Boeing dan bawa balik semua mangsa. Kalau kita boleh urus pelbagai hubungan antarabangsa, kenapa tidak boleh selesaikan isu rakyat sendiri?” tegasnya.
Sindiket Pekerjaan & Ancaman “Brainwash” di Media Sosial
Dalam sidang media sama, beliau turut memberi amaran mengenai trend penipuan pekerjaan yang semakin berleluasa di platform media sosial terutama Facebook.
Beliau mendedahkan kes terkini di mana seorang wanita terpedaya dengan tawaran pinjaman palsu sehingga mengalami kerugian lebih RM15,000 — satu lagi bukti bagaimana rakyat semakin mudah diperdaya, sekali gus mendorong mereka menerima tawaran kerja luar negara tanpa usul periksa.
“Setiap hari ada scam baru di Facebook. Begitu juga tawaran kerja ke Kemboja atau Vietnam. Ramai yang diputar belit, dimanipulasi dan dicuci minda sehingga sanggup tinggalkan negara sendiri.” ujarnya.
Malaysia Sudah “Syurga” Pekerjaan, Kenapa Masih Mahu Tinggalkan?
Menurut Dato’ Dr Kalaivanar, Malaysia sebenarnya mempunyai peluang pekerjaan yang lebih stabil berbanding banyak negara serantau.
“Negara kita sudah seperti syurga. Cuaca baik, peluang banyak. Kalau Nepal, Myanmar, Pakistan, Bangladesh datang ke sini mencari rezeki, kenapa rakyat kita pula mahu keluar ke negara lain?”
Beliau berharap kerajaan mengambil tindakan pantas dan strategik untuk memastikan semua mangsa yang masih berada di luar negara dapat diselamatkan dan dibawa pulang segera.
#AATVNews #IsuKemboja #BeliaMalaysia #MangsaScam #PekerjaanPalsu #BahanaKesetiaanNegara #SelamatkanRakyatKita #StopHumanScam #MalaysiaPrihatin