HARI ini genap seminggu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hidup di dalam penjara. Pada 23 Ogos lalu Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman 12 tahun penjara ke atas beliau.
Esok adalah sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-65 dan esok juga adalah kali pertama Najib akan menyambutnya keseorangan di dalam Penjara Kajang.

Jasadnya terkurung tidak bebas namun bagi mereka yang merindui bekas Perdana Menteri itu legasinya masih merdeka, malah ada yang berdiri megah untuk diingati.

Merdeka 118
Najib melancarkan projek Merdeka PNB118 pada Mac 2016. Bangunan ikonik milik Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu dibina di tapak Pembangunan Projek Warisan Merdeka.
Pembinaan bangunan kedua tertinggi di dunia itu menjadi salah satu sasaran cemuhan oleh musuh politik Najib antaranya dituduh menggunakan wang kerajaan, Petronas atau kroni.
Keputusan membina Merdeka 118 tersebut dibuat ketika ekonomi negara rancak di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) dan ketika dividen Amanah Saham Bumiputera tinggi secara konsisten.

Reka bentuk menara secara simbolik mencerminkan imej Perdana Menteri Pertama Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ketika mengangkat tangan melaungkan Merdeka!
Merdeka 118 kini berdiri mengah dan menjadi salah satu simbol kebanggaan negara dengan ciri-ciri moden yang amat ketara.

Exchange 106
Projek Exchange 106 dilancarkan bersama-sama dengan Tun Razak Exchange (TRX) oleh Najib pada tahun 2012.

Menara dengan ketinggian 450 meter itu menjadi salah satu mercu tanda dan menambah permata baharu di Kuala Lumpur.
Dengan ketinggian 452 meter, Exchange 106 tergolong antara 10 bangunan pejabat tertinggi di dunia.

Reka bentuk yang bertaraf dunia, menjadikannya setanding hartanah terkemuka antarabangsa lain seperti The Shard, bangunan di Canary Wharf, London; One World Trade Centre New York, Amerika Syarikat; dan Shanghai IFC.
Pembinaan projek itu turut mendapat cemuhan musuh politik Najib dan ada yang mendakwa ia tidak ada dapat disiapkan.

“Siapa cakap projek ini (Tun Razak Exchange-TRX) tidak jadi”?
Itu maklum balas ringkas dan pantas Najib selepas beliau mengakhiri lawatannya ke Galeri TRX pada 5 Jun 2017.

Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan Sarawak
Pada April 2016 Najib melancarkan Lebuhraya Pan Borneo Sabah. Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah bermula di sempadan Sarawak di Sindumin, Sipitang di selatan pantai barat hingga ke Tawau di pantai timur dengan jarak sepanjang 706 kilometer bagi projek fasa satu.

Ia membabitkan 35 pakej pembinaan, antaranya sepanjang Sindumin-Kampung Melalia, Sipitang; Papar-Dongongon; Pakej Satu Tawau-Semporna; Lahad Datu Bypass; Kampung Lot M-Batu 32, Sandakan dan Putatan-Inanam
Najib kemudiannya melancarkan lapan pakej Lebuhraya Pan Borneo Sarawak yang pada Disember 2016.

Ia merupakan sebahagian daripada 11 pakej jajaran Lebuhraya Pan Borneo Sarawak yang sedang giat dilaksanakan di pelbagai kawasan di Sarawak yang akhirnya meliputi jajaran sepanjang 1,089 kilometer.
Sebahagian fasa projek itu telahpun siap sementara yang lain masih dalam pembinaan.

MRT, LRT, ECRL
Perubahan landskap pengangkutan darat paling ketara mengalami perubahan adalah pada pentadbiran Najib. Beliau boleh dianggap sebagai bapa pengangkutan moden.
Beliau melancarkan projek My Rapid Transit (MRT) pada 8 Julai 2011. Laluan sejauh 51 kilometer (km) dari Sungai Buloh ke Kajang itu dapat menyediakan sistem pengangkutan awam yang efisien kepada orang ramai. Terdapat 31 perhentian sepanjang jajaran Sungai Buloh-Kajang.

Kemudian dia melancarkan kerja-kerja terowong bawah tanah untuk Laluan MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) di Bandar Malaysia pada 1 Mac 2018.
Laluan SSP adalah yang kedua di bawah projek MRT Lembah Klang dan akan bermula dari Sungai Buloh ke Putrajaya melalui Kepong, Batu, Jalan Ipoh, Titiwangsa, KLCC, Tun Razak Exchange, Bandar Malaysia, Sungai Besi, Serdang, UPM dan Cyberjaya.
Projek tersebut akan meliputi pembinaan 35 buah stesen yang mana 11 daripadanya akan berada di bawah tanah.

Selain itu dia menyambung usaha Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam memperkasakan pengangkutan Transit Aliran Ringan (LRT) dengan melancarkan LRT 2 sepanjang 35 km pada 2011 dan LRT 3 melibatkan jajaran sepanjang 37 kilometer pada Ogos 2016.

Najib turut melancarkan projek East Coast Rail Link (ECRL) yang menghubungkan Pantai Timur dengan Pantai Barat Semenanjung pada Ogos 2017.
BR1M, Klinik Rakyat 1Malaysia
Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) adalah bantuan paling diingati oleh rakyat kepada Najib.

Walaupun ia dianggap rasuah kepada rakyat oleh pemimpin pembangkang tetapi ia kemudiannya diteruskan oleh Kerajaan Pakatan Harapan selepas menang Pilihan Raya Umum ke-14 dengan menjenamakan semula kepada Bantuan Sara Hidup.

Banyak lagi jasa Najib kepada rakyat dan negara yang boleh disenaraikan. Biarpun jasadnya dipenjara legasinya yang merdeka tetap tersebar ke seluruh negara. –

Sumber : MalaysiaGazette

Leave a Reply