KUALA LUMPUR, 29 April 2026 – Pantai Teluk Cempedak dijangka menjadi tumpuan utama orang ramai apabila Festival Muzik Air Kuantan bakal berlangsung selama tiga hari bermula 1 hingga 3 Mei 2026.
Festival julung kali dianjurkan itu merupakan antara acara yang disenaraikan dalam kalendar Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, anjuran Tourism Malaysia, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dengan kerjasama Majlis Bandaraya Kuantan.
Menurut Jurucakap Penganjur, Jazri Danish, penganjuran festival berkenaan bukan sahaja bertujuan memeriahkan suasana cuti panjang sempena Hari Pekerja, malah menjadi platform menarik untuk mempromosikan Kuantan sebagai destinasi pelancongan pantai pilihan.
Katanya, pelbagai aktiviti menarik akan diadakan sepanjang festival tersebut termasuk pertandingan bola sepak pantai, sukaneka air, bola tampar pantai, basikal pantai, boling pantai buah kelapa serta pertunjukan api pada waktu malam.
“Pengunjung bukan sahaja boleh hadir untuk menyaksikan acara yang disediakan, malah boleh turut serta dalam beberapa aktiviti yang dibuka kepada orang awam secara percuma,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Selain aktiviti sukan dan hiburan, pengunjung juga berpeluang bersantai bersama keluarga sambil menikmati pelbagai juadah di gerai jualan yang akan disediakan di sepanjang kawasan Pantai Teluk Cempedak.
Pihak penganjur menjangkakan kira-kira 100,000 pengunjung bakal membanjiri festival berkenaan, khususnya dalam kalangan penduduk Pantai Timur serta pelancong luar yang mengambil peluang bercuti sempena cuti panjang.
Jazri turut mengajak orang ramai, khususnya rakyat Pahang dan negeri-negeri berdekatan, supaya hadir beramai-ramai bagi memeriahkan Festival Muzik Air Kuantan yang dijangka menjadi antara tarikan utama sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Orang ramai dijemput hadir dan tidak melepaskan peluang menikmati suasana pantai, aktiviti kekeluargaan, hiburan serta pelbagai acara menarik yang disediakan sepanjang festival ini,” katanya.
Festival Muzik Air Kuantan dilihat mampu menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan tempatan, selain memberi limpahan ekonomi kepada peniaga kecil, pengusaha makanan, penginapan serta pemain industri pelancongan sekitar Kuantan.
#FestivalMuzikAirKuantan #TelukCempedak2026 #TahunMelawatMalaysia2026 #CutiPanjangDiKuantan #AATVNews