KUALA LUMPUR – Usaha memperkukuhkan pendidikan al-Quran dalam kalangan masyarakat terutama golongan asnaf dan kurang berkemampuan terus diperkasa menerusi pelaksanaan program Quranic Madani yang diterajui pendakwah bebas, Muhammad Haris Mohd Ismail di Rumah Titian Kaseh baru-baru ini.
Program yang memberi fokus kepada pengajaran al-Quran dan tajwid itu menjadi platform mendekati komuniti setempat dengan menyediakan peluang pembelajaran agama secara lebih tersusun dan mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat, khususnya kanak-kanak dan remaja di rumah kebajikan berkenaan.
Pelaksanaan program tersebut melibatkan penyertaan penghuni Rumah Titian Kaseh yang terdiri daripada kanak-kanak seawal usia lapan tahun hingga remaja belasan tahun.

Sesi pembelajaran yang dijalankan bukan sahaja memberi penekanan terhadap bacaan al-Quran yang betul, malah membantu membentuk keyakinan serta minat mendalam terhadap ilmu agama sejak usia muda.
Menurut PU Riz, Quranic Madani diwujudkan sebagai satu inisiatif berterusan bagi memastikan lebih ramai masyarakat mendapat peluang mempelajari al-Quran secara lebih dekat dan berkesan.
Beliau berkata, sambutan yang diterima daripada penghuni rumah kebajikan itu amat memberangsangkan dan membuktikan bahawa masyarakat masih mempunyai minat tinggi untuk mendalami ilmu al-Quran apabila diberikan ruang dan peluang yang sesuai.

“Alhamdulillah, sesi Quranic Madani yang berlangsung di Rumah Titian Kaseh berjalan dengan sangat baik. Anak-anak yang mengikuti kelas ini menunjukkan semangat dan kesungguhan untuk belajar al-Quran serta tajwid,” katanya.
Tambah beliau, program seperti itu juga mampu menjadi medium dakwah yang lebih dekat dengan masyarakat selain membantu melahirkan generasi muda yang mempunyai asas pendidikan agama yang kukuh.
Dalam pada itu, PU Riz turut menyatakan bahawa inisiatif tersebut selari dengan pendekatan yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan menerusi Kementerian Agama dalam membantu golongan asnaf dan masyarakat yang memerlukan.
Beliau turut menghargai usaha Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan yang sentiasa komited memperkasakan agenda kebajikan serta pendidikan Islam dalam kalangan masyarakat.
Katanya, sokongan terhadap program berbentuk pendidikan al-Quran amat penting bagi memastikan masyarakat terus mendapat bimbingan agama yang sewajarnya, khususnya mereka yang berada dalam komuniti kurang bernasib baik.
PU Riz berharap Quranic Madani dapat diperluaskan ke lebih banyak lokasi selepas ini agar manfaatnya dapat dirasai oleh lebih ramai masyarakat di seluruh negara.
Menurut beliau, usaha mendekatkan masyarakat dengan al-Quran perlu dilakukan secara berterusan supaya pembelajaran kitab suci itu dapat menjadi sebahagian daripada gaya hidup dan amalan harian umat Islam di Malaysia.
Program Quranic Madani dijangka meneruskan siri jelajah ke beberapa lokasi lain dalam masa terdekat sebagai usaha memperluaskan akses pendidikan al-Quran dan memperkukuhkan pembangunan sahsiah masyarakat berteraskan nilai Islam serta semangat Malaysia Madani.