
KUALA LUMPUR – Kisah di sebalik tabir dunia glamor artis popular bakal dikupas secara dramatik menerusi filem terbaharu, Kata Hati. Filem yang sarat dengan konflik emosi ini menampilkan barisan pelakon muda meningkat naik seperti Nia Atasha, Fazziq Muqris, dan Yusof Hashim selaku peneraju utama.
Kata Hati mengisahkan tentang Ayra Natasha (lakonan Nia Atasha), seorang aktres popular yang sedang berada di puncak kerjaya. Nama Ayra semakin melonjak naik selepas membuat kemunculan sulung dalam sebuah filem aksi layar perak bersama kekasihnya yang juga aktor terkenal, Zayn Mikhail (lakonan Fazziq Muqris).


Bagaimanapun, kehidupan ‘sempurna’ Ayra mula retak menanti belah selepas satu insiden memalukan berlaku pada malam pencalonan anugerah berprestij. Insiden tersebut tular di media sosial dan disaksikan oleh seluruh negara, sekali gus mencetuskan huru-hara dalam kerjayanya.

Malam yang penuh kekacauan itu bagaimanapun mempertemukan Ayra dengan Imran Firdaus (lakonan Yusof Hashim), seorang pemandu e-hailing yang langsung tidak mengendahkan atau kagum dengan kegilaan dunia selebriti.


Keadaan menjadi lebih parah apabila sekeping foto Ayra dan Imran tular. Demi menyelamatkan reputasi adiknya, Maya (lakonan Scha Alyahya) yang juga merangkap pengurus Ayra, telah ‘memaksa’ Imran untuk bersetuju dengan satu pelan: menjadi pemandu peribadi Ayra sepanjang 25 hari penggambaran berjalan.


Bermula dari situlah, benih-benih cinta mula bercambah. Buat pertama kalinya, Ayra mengenali seseorang yang melihat dirinya yang sebenar, bukan sekadar imej selebriti atau watak yang dilakonkannya. Kini, Ayra berdepan dilema besar—sama ada mahu memilih cinta sejati bersama Imran, atau mengekalkan hubungannya dengan Zayn yang menjanjikan populariti serta kestabilan hidup.
Info Menarik: Filem Kata Hati ini turut diserikan dengan kemunculan khas barisan pelakon gred-A tanah air seperti Beto Kusyairy, Nabila Huda, Liyana Jasmay, serta personaliti media sosial terkenal, Ceddy Ang.
Untuk rekod, naskhah hebat ini direalisasikan dengan sokongan penuh daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) di bawah Dana Kandungan Digital (DKD). Sesi penggambaran filem ini telah pun dijalankan sekitar Ogos dan September tahun lalu di sekitar Kuala Lumpur dan Pahang.
Sama-sama kita nantikan adakah Ayra akan memilih cinta atau populariti? Nantikan kemunculannya!
#KataHati #NiaAtasha #FazziqMuqris #FilemMalaysia #AATVNews