
KUALA LUMPUR, 27 Jun 2026 – Seramai 267 pelajar daripada komuniti Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di sekitar Wilayah Persekutuan berjaya membuktikan bahawa kekangan sosioekonomi bukanlah penghalang untuk menggapai kecemerlangan akademik.
Kesemua mereka berjaya menamatkan Program Kelas Tuisyen SPM & 3M anjuran Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dengan kerjasama erat Yayasan Hasanah. Majlis Penutup Program yang penuh gemilang tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif YWP, YBrs. Dr. Abdul Basir bin V. Kunhimohamed di Kompleks Arena Sukan, semalam.

Program impak tinggi yang berlangsung dari Disember 2024 hingga Mac 2026 ini merupakan antara inisiatif strategik YWP dalam memperkasakan pendidikan anak-anak Wilayah Persekutuan menerusi penyediaan kelas tuisyen, modul pembelajaran yang komprehensif, serta bimbingan akademik secara berterusan.

Fasa kali ini melibatkan seramai 113 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan 154 pelajar Program 3M (Membaca). Kesemua mereka mengikuti sesi pembelajaran intensif di enam Pusat Pendidikan dan Komuniti (PREPKOM) YWP yang terletak di Lembah Pantai, Bandar Tun Razak, Titiwangsa, Setiawangsa, Cheras, dan Wangsa Maju.

Bagi memastikan keberkesanan program, peruntukan dana sebanyak RM498,000 telah disalurkan dengan kolaborasi strategik bersama Yayasan Hasanah, Universiti Malaya (UM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL), serta beberapa rakan strategik lain bagi merangka modul pembelajaran yang lebih interaktif dan berkesan.

Pelaburan tersebut ternyata membuahkan hasil yang amat membanggakan apabila program ini merekodkan lonjakan prestasi luar biasa. Sebanyak 86 peratus peserta Program 3M berjaya mencapai tahap KP32 Bahasa Melayu, manakala 84 peratus pelajar SPM berjaya mencapai KP9 bagi subjek Matematik.


Lebih manis lagi, 100 peratus peserta SPM daripada komuniti PPR dan PA ini lulus penuh dan layak memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia. Daripada jumlah tersebut, 55 peratus pelajar memperoleh sekurang-kurangnya Gred C dalam Bahasa Inggeris, manakala 40 peratus lagi meraih sekurang-kurangnya Gred C dalam Matematik. Malah, terdapat beberapa pelajar yang berjaya mencatatkan keputusan cemerlang 5A dan ke atas.
Kejayaan impak tinggi ini menjadi bukti kukuh terhadap keberkesanan pendekatan pembelajaran yang dilaksanakan menerusi ekosistem kerjasama erat antara YWP, institusi pendidikan, barisan pendidik, ibu bapa, serta rakan-rakan strategik.


Sejak ditubuhkan pada tahun 1986, YWP terus konsisten mendokong misi memperkasa pembangunan modal insan melalui pelbagai program pendidikan dan kebajikan bagi meningkatkan taraf hidup warga Wilayah Persekutuan. Komitmen ini disokong kuat oleh tadbir urus Yayasan yang telus dan berintegriti dalam pengurusan dana, sepertimana yang dibuktikan menerusi Laporan Audit Tahun Kewangan 2024 dan 2025.


Melangkah ke hadapan, YWP menaruh harapan tinggi agar program seumpama ini dapat diperluaskan lagi pada masa hadapan demi melahirkan lebih ramai generasi muda Wilayah Persekutuan yang cemerlang, berdaya saing, dan mampu menyumbang kepada agenda pembangunan negara.
#BeritaAATV #AnakPPRCemerlang #TuisyenYWP #PendidikanSeksama #SPM2026