KUALA LUMPUR – PTTI terus mengorak langkah memperkukuhkan jenamanya sebagai antara institusi pendidikan terkemuka negara apabila tampil dengan pendekatan berbeza menerusi penganjuran Tayangan Perdana dokumentari “Selekoh Akhir PTTI – The Untold Story Behind The A’s” di GSC Aurum Theatre, The Exchange TRX, di sini, semalam.
Dokumentari itu diterbitkan bukan sekadar meraikan kejayaan pelajar memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sebaliknya membawa penonton menyelami kisah sebenar yang berlaku di sebalik perjalanan mereka menuju kecemerlangan.
Ia memaparkan cabaran, pengorbanan, disiplin dan komitmen tinggi yang menjadi asas kepada kejayaan ribuan pelajar menerusi Program Selekoh Akhir sejak diperkenalkan pada tahun 2019.
Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman atau lebih dikenali sebagai Cikgu Fana, berkata dokumentari berkenaan dihasilkan bagi memberi gambaran lebih jelas kepada masyarakat bahawa setiap kejayaan yang dicapai pelajar bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil usaha berterusan daripada pelbagai pihak.
Beliau berkata, masyarakat selama ini hanya melihat keputusan cemerlang yang diumumkan setiap kali keputusan SPM dikeluarkan, namun tidak mengetahui perjalanan panjang yang perlu dilalui oleh pelajar, ibu bapa dan tenaga pengajar sebelum kejayaan tersebut dapat direalisasikan.
“Rakyat Malaysia nampak kejayaan keputusan SPM yang dibina oleh PTTI. Tetapi, semua tidak tahu bagaimana proses kejayaan itu dihasilkan berulang-ulang kali. Itulah sebab kami hasilkan Selekoh Akhir PTTI – The Untold Story Behind The A’s,” katanya.
Menurut beliau, dokumentari tersebut turut menjadi simbol penghargaan kepada semua tenaga pengajar PTTI yang sentiasa komited membimbing pelajar sehingga berjaya mengubah prestasi akademik mereka dalam tempoh yang singkat.
Pada majlis berkenaan, PTTI turut memperkenalkan barisan guru Program Selekoh Akhir yang menjadi antara faktor utama kejayaan program tersebut.

Kesemua mereka merupakan tenaga pengajar sepenuh masa yang telah melalui latihan intensif serta memiliki pengalaman luas dalam bidang pendidikan.
Malah, sebahagian daripada mereka mempunyai pengalaman mengajar lebih 25 tahun, khususnya dalam mata pelajaran Matematik Tambahan, selain terdiri daripada graduan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) yang sentiasa komited melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang.
Mengulas mengenai Program Selekoh Akhir, Cikgu Fana berkata inisiatif itu diwujudkan sebagai program persediaan intensif selama tiga bulan terakhir menjelang peperiksaan SPM bagi membantu pelajar yang masih belum mencapai tahap prestasi diharapkan.
Katanya, pendekatan pembelajaran yang digunakan memberi fokus kepada teknik menjawab soalan, strategi penguasaan topik penting dan bimbingan secara intensif, sekali gus membantu pelajar meningkatkan keyakinan sebelum menduduki peperiksaan sebenar.
Beliau berkata, keberkesanan program itu terbukti apabila ramai pelajar berjaya meningkatkan pencapaian daripada gred gagal kepada A, malah sebahagian besar daripada mereka turut memperoleh keputusan straight A dalam peperiksaan SPM.
“Kejayaan yang dicapai secara konsisten selama ini turut membolehkan PTTI menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records sebanyak tiga kali sebagai pusat tuisyen yang melahirkan jumlah pelajar straight A SPM paling ramai di Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Pertumbuhan (CGO) PTTI, Sir Race, berkata falsafah Program Selekoh Akhir dibina berasaskan keyakinan bahawa setiap pelajar masih mempunyai ruang untuk memperbaiki prestasi selagi peperiksaan belum berlangsung.
Menurut beliau, PTTI percaya kegagalan bukanlah penamat kepada perjalanan akademik seseorang pelajar, sebaliknya menjadi titik permulaan untuk bangkit dengan bimbingan yang sistematik dan sokongan yang berterusan.
“Di PTTI, kami percaya tiada pelajar yang terlalu lewat untuk berubah. Selagi masih ada masa sebelum peperiksaan, selagi itu masih ada peluang untuk bangkit.
“Selekoh Akhir diwujudkan khusus untuk membuktikan bahawa dengan bimbingan yang betul, pelajar yang gagal juga mampu mencapai keputusan cemerlang jika dia membuat keputusan yang betul sekarang,” katanya.
Tayangan perdana itu turut berlangsung dalam suasana meriah dengan kehadiran beberapa selebriti dan pempengaruh terkenal termasuk Datuk AC Mizal selaku hos, Datin Emylia, MK, Iman, Madammu, Asyraf Khalid dan Tya Arifin.
Turut hadir ialah penyanyi dan pelakon muda Alyssa Dezek, yang juga merupakan pelajar Program Selekoh Akhir 2025 selepas berjaya memperoleh keputusan 9A dalam peperiksaan SPM.
Kehadiran alumni Program Selekoh Akhir bagi sesi 2019 hingga 2025 turut menambahkan lagi kemeriahan majlis apabila mereka berkongsi pengalaman serta perubahan yang dilalui sepanjang mengikuti program tersebut.
Penganjuran dokumentari ini dilihat mencerminkan komitmen berterusan PTTI dalam memperkasakan dunia pendidikan negara melalui pendekatan yang lebih dekat dengan masyarakat.
Selain berkongsi kisah inspirasi, dokumentari itu diharapkan dapat menjadi suntikan semangat kepada calon SPM bahawa kejayaan masih mampu diraih dengan usaha, disiplin dan bimbingan yang tepat.
Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai Program Online Selekoh Akhir SPM PTTI boleh mendapatkan maklumat lengkap serta membuat pendaftaran melalui laman web rasmi PTTI.