KUALA LUMPUR, 12 Ogos 2026 – Kerajaan Madani digesa supaya mempercepat dan memastikan pelaksanaan sepenuhnya Unit Pemerkasaan Bumiputera (UPB) di setiap kementerian selaras dengan Pekeliling Am Bilangan 2 Tahun 2025.
Sekretariat Musyawarah Nasional dalam satu kenyataan menegaskan, penubuhan UPB bukan lagi perkara baharu sebaliknya tuntutan rasmi yang telah berkali-kali dibangkitkan. Justeru, tumpuan kini mesti beralih sepenuhnya kepada pelaksanaan, pemantauan, dan keberhasilan sebenar.
Menurut Sekretariat tersebut, kelemahan utama agenda Bumiputera sebelum ini bukannya pada perancangan dasar, melainkan jurang dalam tahap penyelarasan dan pelaksanaan yang berkesan.
”Agenda ini telah dibincangkan sejak Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 dan diterjemahkan melalui Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35). Namun, dasar yang baik tidak membawa makna jika pelaksanaannya terus tertangguh,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, Sekretariat Musyawarah Nasional mengemukakan empat tuntutan utama kepada kerajaan:
Pengaktifan Segera: Setiap kementerian mesti mengaktifkan UPB lengkap dengan struktur, pegawai, dan mandat jelas.
Pelan Tindakan & KPI Khusus: Menyediakan KPI yang boleh diukur mengikut bidang kuasa dan peluang ekonomi kementerian masing-masing.
Pelaporan Berkala: Laporan status secara berkala wajib disalurkan kepada mekanisme pemantauan pusat PuTERA35 bagi mengelakkan pertindihan dan kelewatan.
Wujudkan Scorecard Pencapaian: Keberhasilan tidak lagi boleh diukur berdasarkan jumlah mesyuarat atau peruntukan, tetapi berasaskan peningkatan sebenar penguasaan ekonomi, pendapatan, dan pemilikan Bumiputera.
Mengulas lanjut, pihak Sekretariat menekankan bahawa ekosistem pemantauan menerusi Majlis Ekonomi Bumiputera sebenarnya sudah lengkap dan sedia untuk digerakkan.
”Kini tanggungjawab terletak sepenuhnya pada kerajaan untuk memastikan keputusan diterjemahkan kepada tindakan. Agenda pemerkasaan Bumiputera terlalu penting untuk dibiarkan bergerak perlahan atau sekadar menjadi slogan,” tegasnya.


#BeritaAAC #PuTERA35 #PemerkasaanBumiputera #KerajaanMadani #EkonomiMalaysia