IPOH, 13 Ogos 2026 — Impian seorang lelaki untuk memulakan perniagaan sendiri selepas 15 tahun berbakti sebagai pekerja kedai santan kelapa bertukar menjadi igauan ngeri apabila dia dan keluarganya menerima ugutan jenayah melampau daripada bekas majikannya.
Mangsa, Sivalingam, 46, bersama isterinya, Komathi, kini hidup dalam ketakutan selepas diugut akan ditetak, dipotong kaki, serta dibakar kereta mereka. Ugutan tersebut dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati bekas majikan apabila Sivalingam berhasrat berhenti kerja untuk memulakan perniagaan santan sendiri.
Aktivis Sosial daripada Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, Dato’ Dr. Kalaivanar berkata, mangsa yang mula bertindak berhenti kerja pada 8 Ogos lalu telah membuat laporan polis pertama di Balai Polis Tambun selepas menerima pelbagai ancaman.
Bagaimanapun, tindakan bekas majikannya didakwa semakin melampau apabila berani hadir ke rumah mangsa pada petang 9 Ogos lalu untuk melepaskan kemarahan, mengeluarkan kata-kata lucat, serta mengancam keselamatan nyawa mangsa dan isterinya.
“Apa yang lebih mendukacitakan, suspek didakwa masih berani mengeluarkan ugutan berunsur jenayah dan kata-kata kesat terhadap mangsa walaupun ketika berada di perkarangan balai polis.
“Suspek secara terbuka mengugut mahu menjadikan isteri mangsa seorang balu. Ini bukan lagi gertakan biasa, ini adalah ugutan bunuh yang terang-terangan,” tegas Dato’ Dr. Kalaivanar dalam satu sidang media di hadapan Balai Polis Tambun, Ipoh.
Menurut beliau, mangsa kini telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh bagi menyerahkan bukti perakam video serta kenyataan lanjut di bawah kendalian Pegawai Penyiasat, Inspektor Surin daripada Bahagian Siasatan Jenayah.
Pihak Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara mendesak pihak polis agar tidak memandang remeh kes berkenaan dan segera membuka kertas siasatan serta mengambil tindakan tegas di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan bagi membendung gejala gangsterisme dan melindungi keselamatan keluarga mangsa sebelum sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
#BeritaAAC #KesUgutBunuh #PolisIpoh #KeadilanUntukMangsa #IsuPekerja