
KUALA LUMPUR — Aktivis Sosial dari Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, Dato’ Dr Kalaivanar, mengumumkan bakal bertanding di kerusi Parlimen Kota Raja dalam usaha membela nasib masyarakat marhaen yang didakwanya masih terabai.
Dr Kalaivanar menyuarakan rasa kecewa terhadap kepimpinan sedia ada dan menyelar taktik parti politik yang hanya bergantung kepada kekuatan dana dan sentimen logo ketika musim pilihan raya semata-mata.
Menurut beliau, bantuan bermusim seperti beras, makanan serta hamper tidak mampu menjamin kesejahteraan rakyat untuk tempoh lima tahun.
”Banyak isu tempatan belum diselesaikan kerana sentimen logo. Pada pilihan raya, ada logo yang punyai dana begitu kuat… bagi hamper, beras, sardin. Itu tak cukup untuk lima tahun! Demi menghidupkan generasi baharu, kita kena pilih wadah yang baharu,” tegasnya.
Menyasarkan Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu (Mat Sabu), Dr Kalaivanar mendakwa pemimpin veteran tersebut lebih banyak ‘berkokok’ di pentas berbanding turun padang menyelesaikan kemelut asas rakyat.
”Di mana Mat Sabu, saudara kita? Banyak berkokok di pentas, tapi tepuk dada tanya selera—anda ‘alim’ atau tidak? Langsung tak turun padang. Kota Raja banyak isu tanah, banjir, jalan raya yang belum diselesaikan,” katanya lagi.
Beliau turut menekankan komitmennya yang selama ini berkhidmat sebagai ‘wakil rakyat tanpa tauliah’ tanpa sebarang elaun mahupun gaji kerajaan, termasuk kejayaan menyelamatkan 29 buah rumah penduduk daripada dilelong pihak bank.
Mengulas lanjut, beliau mengingatkan para pemimpin yang menerima gaji dan elaun daripada dana cukai rakyat agar tidak culas memikul amanah serta ‘makan gaji buta’.
”Rakyat bukan minta sedekah. Anda yang makan gaji dan elaun daripada cukai rakyat kena jalankan tugas. Ingat, bila akhir hayat nanti, semuanya perlu dijawab di hadapan Tuhan,” ujarnya mengakhiri kenyataan.
#BeritaAAC #KotaRaja #DatoDrKalaivanar #MatSabu #PolitikMalaysia