
KUALA LUMPUR, 15 Ogos 2026 — UMNO Bahagian Batu hari ini tampil membidas keras kelantangan para perwakilan dan pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) di Kongres AMK 2026 yang didakwa gemar mencari sensasi dan menyalahkan Barisan Nasional (BN) atas kemelut dalaman parti mereka.
Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar Ghulam Mustakim menyifatkan tindakan Ketua AMK, Kamil Munim, Ahli Parlimen Sungai Petani YB Dr. Mohammed Taufiq Johari serta para pembahas melabelkan UMNO sebagai rakan “talam dua muka” sebagai cubaan mengalihkan kelemahan sendiri.
Menurut Gulam yang juga Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, AMK seolah-olah cuba meletakkan semua masalah yang melanda kem PKR ke atas bahu UMNO seolah-olah pemimpin parti itu tidak pernah melakukan kesilapan.
”Kenapa AMK tidak buat ‘kombo set’ dan jaja sekali bilamana isu dalaman mereka, tokoh-tokoh mereka keluar parti, ada yang berehat, sekatan peruntukan, dan ramai ahli keluar parti juga mahu disalahkan kepada UMNO? Maaf, saya lupa pemimpin dan parti PKR bertaraf ‘maksum’,” sindirnya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau mencabar kepimpinan PKR untuk membuktikan ketegasan mereka dengan memutuskan hubungan kerjasama politik bersama BN di peringkat Pusat serta kerajaan negeri seperti Pulau Pinang, Selangor, Perak, dan Pahang sekiranya benar-benar tidak berpuas hati.
”Bila AMK menuduh UMNO ‘talam dua muka’, tetapi dalam waktu yang sama tiada pula keberanian memecat atau memutuskan hubungan dengan BN. Kalau PKR anak jantan, buktikan! Kami orang-orang UMNO menanti penuh pengharapan untuk bertempur di medan demokrasi PRU16. Biarkan rakyat tentukan,” tegas beliau.
Dalam pada itu, Gulam menasihati AMK agar memanfaatkan pentas kongres sebagai parti kerajaan untuk membahaskan dasar serta polisi yang mendatangkan faedah kepada rakyat dan bukannya menyerang rakan sekutu.
Antara perkara yang wajar diperdebatkan secara serius adalah isu pemansuhan PTPTN dan cadangan menaikkan kuota BUDI95 kepada 300 liter yang menurutnya lebih dekat di hati rakyat.
Beliau turut mendakwa mentaliti pembangkang masih menebal dalam jiwa PKR walaupun telah memegang tampuk kuasa pentadbiran.
”Itu bezanya UMNO dan PKR. Perhimpunan Agung UMNO mencari solusi dan meningkatkan prestasi, bukan seperti Kongres AMK yang lebih mencari sensasi.
”YAB Presiden dan pemimpin kami di dalam Kabinet tenang-tenang sahaja duduk sebelah-menyebelah dengan Presiden kamu, sebaliknya AMK pula teriak seperti ‘anjing menyalak bukit’,” tambah beliau lagi.
#BeritaAATV #KongresAMK2026 #PolitikMalaysia #UMNOvsPKR #PRU16