
KUALA LUMPUR, 17 Ogos 2026 – Kekeliruan dalam mengklasifikasikan kes penipuan kewangan (scam) antara tuntutan sivil dan jenayah dikesal menjadi antara faktor sindiket ini terus berleluasa tanpa titik noktah di negara ini.
Pengerusi Malaysian Community Care Foundation (MCCC) merangkap Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, terdapat insiden di mana laporan mangsa pada awalnya dianggap sebagai isu sivil, lantas menyebabkan siasatan jenayah tidak dapat diteruskan serta-merta oleh pihak berkuasa.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa mahkamah sendiri telah mengeluarkan arahan rasmi kepada pihak polis untuk membuka kertas siasatan bagi kes sedemikian.
”Antara isu utama ialah perbezaan tafsiran antara kes sivil dan jenayah. Apabila laporan dibuat, ada kalanya pihak polis mendapati ia menjurus kepada elemen sivil dan siasatan tidak dijalankan.
”Namun dalam kes ini, pihak mahkamah sendiri telah mengutus surat rasmi mengarahkan siasatan dijalankan, maka pihak polis perlu mengambil tindakan sewajarnya,” jelas beliau ketika ditemubual media.
Mengulas lanjut, Musa mendedahkan bahawa penelitian terhadap modus operandi menunjukkan mangsa ditipu menggunakan corak serta kaedah berulang yang sama. Justeru, tindakan tersebut jelas membuktikan wujudnya niat jenayah terancang dan bukannya sekadar pertikaian perjanjian sivil semata-mata.
#BeritaAAC #MusaHassan #JenayahScam #PDRM #BanterasScammer