
KUALA LUMPUR, 17 Ogos 2026 — Perikatan Nasional (PN) diingatkan agar tidak terlalu yakin bahawa rakyat akan menolak DAP pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kelak, sambil menyifatkan retorik pemimpin PAS mendahului ketentuan takdir.
Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Dato’ Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, kenyataan emosi yang dikeluarkan oleh pemimpin PAS baru-baru ini memperlihatkan rasa kecewa selepas DAP membuat keputusan untuk kekal bersama Kerajaan Perpaduan (Madani).
Menurut beliau, kekecewaan itu turut mendedahkan sikap sebenar PAS yang didakwa ‘lapar kuasa’ (power hungry) dan menanti ruang untuk menyertai kerajaan sekiranya DAP disingkirkan, di samping cuba merujuk semula ‘janda lama’ iaitu UMNO/BN.
”PAS kini peneraju PN, namun belum sampai tiga bulan memimpin, PN sudah huru-hara dan bertukar menjadi drama politik seumpama The 3 Stooges.
”Slogan ‘Penyatuan Ummah’ yang dilaungkan adalah retorik hipokrit kelas pertama. Mereka sanggup menyembelih kawan setia (BERSATU) semata-mata mahu mendakap janda lama (UMNO/BN). Pengat pisang mana boleh digaul bersama tahi!” tegas beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Ibrahim turut mempersoalkan kemampuan PN pimpinan PAS untuk mentadbir Putrajaya memandangkan rakyat kini semakin celik menilai hipokrasi politik serta hasil tadbir urus di negeri-negeri bawah kendalian mereka (SG4).
”Apakah dalam tempoh hampir lima tahun ini negeri SG4 telah benar-benar membangun, syiar Islam berkembang dan orang Melayu tidak lagi miskin? Lihatlah muka sendiri di cermin ajaib sebelum bermimpi menguasai Putrajaya,” bidasnya.
Mengulas lanjut, beliau turut menyentuh insiden tindakan pemimpin PAS keluar dewan sewaktu perbahasan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji, yang disifatkannya sebagai bukti sebenar sikap berdolak-dalik dan hipokrasi pemimpin parti berkenaan.
Tegas Ibrahim, kekalahan DAP bukanlah jaminan bahawa masa depan umat Melayu-Islam akan selamat sekiranya dipimpin oleh golongan yang menunggang agama.
”Hancur atau kalah DAP bukan bermakna Melayu Islam selamat kerana sejarah tidak pernah menipu. Rosak Melayu dan Islam adalah kerana pemimpin Melayu dan Islam sendiri yang hipokrit serta munafik. Buktikan kepimpinan Islam yang sebenar agar bukan Islam hormat dan tertarik kepada Islam,” katanya mengakhiri kenyataan.
#BeritaAAC #IbrahimAli #PolitikMalaysia #PerikatanNasional #PRU16