KUALA LUMPUR, 19 Ogos 2026 – Tindakan tegas merobohkan penempatan haram etnik Rohingya di Jalan Murai, belakang SMK (P) Jalan Ipoh berjaya dilaksanakan sepenuhnya hasil kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan.
Operasi bersepadu yang bermula sekitar jam 9.00 pagi itu selesai sepenuhnya kira-kira jam 2.30 petang tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar merakamkan penghargaan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Diraja Malaysia (IPD Sentul), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Wilayah Persekutuan serta Jabatan Imigresen Malaysia atas komitmen membersihkan kawasan berkenaan.
Beliau turut menitipkan peringatan keras kepada warga tempatan agar tidak sewenang-wenangnya menyewakan premis atau tapak perniagaan kepada pendatang asing tanpa izin (PATI).
”Menyewakan premis kepada PATI merupakan kesalahan besar yang boleh dikenakan tindakan undang-undang berat, termasuk denda tinggi dan hukuman penjara sehingga lima tahun,” tegas beliau.
Menurutnya lagi, pihak kepimpinan setempat tidak sesekali menolak kehadiran warga asing secara mutlak, namun setiap individu wajib mematuhi saluran undang-undang serta Perlembagaan Persekutuan yang sah. Beliau berikrar akan terus memantau dan mendedahkan isu kebanjiran warga asing di Parlimen Batu dari semasa ke semasa demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk terus terpelihara.
Beliau turut menzahirkan penghargaan khusus kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, serta Pengarah Jabatan Perumahan dan Kesejahteraan Bandar atas kecekapan tindakan tanpa kompromi.
#BeritaAAC #IsuPATI #DBKL #ParlimenBatu #OperasiRoboh