KUALA LUMPUR, 17 Ogos 2026 — Tindakan tegas bakal diambil terhadap penempatan haram warga Rohingya dan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Jalan Murai, belakang Sekolah Menengah Perempuan Jalan Ipoh, apabila kerja-kerja merobohkan struktur terbabit dijadualkan bermula esok.
Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar memaklumkan operasi perobohan itu merupakan hasil susulan pendedahan beliau bersama wakil penduduk pada 11 Jun lalu yang tular di media sosial.
Beliau menyatakan bahawa beberapa agensi penguatkuasa termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menyatakan komitmen penuh untuk merobohkan premis haram di kawasan tersebut.
Mengulas mengenai nasib penduduk tempatan yang terkesan akibat operasi berkenaan, Gulam menjelaskan enam keluarga warganegara telah dibantu menerusi kerjasama bersama pihak DBKL.
”Empat keluarga telah ditawarkan rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) di PPR Beringin, manakala dua lagi ditempatkan di Perumahan Awam Sri Selangor secara transit selama tiga bulan sebelum penempatan kekal diatur,” katanya.
Namun, beliau menegaskan bahawa permohonan bantuan rumah PPR bagi individu yang berkahwin dengan warga asing atau tidak memenuhi kriteria ketat DBKL tidak dapat disokong, kerana keutamaan dasar hanya diberikan kepada warganegara Malaysia sepenuhnya.
Dalam pada itu, beliau turut memberi amaran keras kepada pemilik premis tempatan yang menyewakan kediaman kepada PATI. Di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63, pemilik boleh didenda antara RM5,000 hingga RM50,000 bagi setiap penghuni tanpa izin serta hukuman penjara sehingga lima tahun.
Gulam turut menggesa pihak berkuasa memperluaskan pemantauan ke beberapa lokasi lain yang dikenal pasti menjadi lubuk warga asing, antaranya Kampung Chubadak Jaya di Sentul, serta Kampung Siang Lama, Taman Wilayah Selayang dan Pusat Bandar Utara berhampiran Pasar Borong Kuala Lumpur.
Beliau menambah bahawa atas faktor keselamatan dan nasihat pihak IPD Sentul, beliau tidak akan turun terus ke lokasi esok sebaliknya memantau pelaksanaan operasi berkenaan dari jauh bagi memastikan undang-undang ditegakkan.
#BeritaAAC #IsuPATI #PenempatanHaram #UMNOBatu #KualaLumpur