
KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan (MOF) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) diseru agar melaksanakan program pendidikan percukaian kepada rakyat dengan segera bagi membetulkan kekeliruan berhubung perbezaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Timbalan Menteri Kerja Raya merangkap bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan menegaskan tanggapan sesetengah pihak bahawa rakyat tidak membayar cukai di bawah sistem SST adalah satu kesilapan besar.
Jelas beliau, sistem SST mengenakan cukai sebanyak 10 peratus di peringkat pengilang atau pengimport yang akhirnya dimasukkan ke dalam harga akhir barangan, menyebabkan berlakunya kesan cukai bertindih (tax-on-tax).
“Rakyat termasuk golongan B40 dan nelayan tetap membayar SST secara tidak langsung apabila membeli barangan di pasaran. Malah, kos SST boleh meningkat sehingga 15 ke 25 peratus akibat cukai atas cukai, berbanding GST yang bersifat telus dan beresit,” tegas beliau.
Mengulas mengenai cadangan sistem percukaian hibrid, Ahmad Maslan menyatakan bahawa sebanyak 175 daripada 194 negara di dunia (kira-kira 90 peratus) telah mengguna pakai sistem GST atau Cukai Nilai Tambah (VAT). Sehubungan itu, penjelasan secara meluas menerusi media massa dan media sosial amat penting agar masyarakat memahami kebaikan serta kelemahan setiap struktur percukaian negara secara fakta.
#BeritaAAC #AhmadMaslan #GSTvsSST #SektorPembinaan #Belanjawan2027