
KUALA LUMPUR, 19 Ogos 2026 – Kementerian Kerja Raya (KKR) menyasarkan kehadiran lebih 1,000 peserta dari dalam dan luar negara sempena penganjuran 13th Malaysian Road Conference and Exhibition 2026 (MRC 2026) dan 6th International Road Federation Global Asia-Pacific Regional Congress yang dijadualkan berlangsung dari 13 hingga 15 Oktober 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, persidangan bertemakan “Transforming the Nation Through Future Ready Roads” itu merupakan platform strategik negara bagi mengetengahkan kepakaran serta inovasi kejuruteraan jalan raya tempatan ke peringkat antarabangsa, dengan jangkaan 10 peratus penyertaan terdiri daripada delegasi luar negara.
Sebanyak 122 kertas kerja teknikal merangkumi 10 sub-tema bakal dibentangkan oleh pakar-pakar terkemuka industri, di samping pembukaan 111 ruang pameran berkaitan teknologi dan produk terkini. Persidangan ini turut menyediakan platform buat bakat muda menerusi program Young Engineers and Professionals (YEP) serta Malaysia Road Conference Invention & Innovation Exhibition 2026 (MRC-IIE 2026) bagi penuntut institusi pengajian tinggi.
Dalam pada itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan turut mendedahkan bahawa sektor pembinaan negara terus mempamerkan prestasi cemerlang apabila merekodkan nilai RM46.5 bilion pada suku kedua 2026, iaitu peningkatan sebanyak 8.5 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, didorong projek infrastruktur seperti jalan raya, lebuh raya, jambatan dan pembaikan cerun.
Mengulas mengenai Belanjawan 2027, beliau optimis KKR akan terus mengekalkan kedudukan sebagai kementerian penerima peruntukan Perbelanjaan Pembangunan (DE) tertinggi negara selepas menerima RM9.6 bilion pada tahun ini, di samping berharap pertimbangan tambahan sewajarnya diberikan oleh Kementerian Kewangan demi kelestarian infrastruktur rakyat.
#BeritaAAC #AhmadMaslan #MRC2026 #KKRMalaysia #InfrastrukturMalaysia