
RAWANG, 19 Ogos 2026 – Sekumpulan ibu bapa, bekas murid, serta komuniti setempat di Rawang menyuarakan bantahan keras terhadap tindakan pihak pengurusan sekolah dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang didakwa meneruskan projek pembinaan bangunan baharu di atas padang sekolah.
Wakil ibu bapa dan alumni sekolah, Senthilkumar, menegaskan bahawa tindakan membina blok bangunan di atas padang tersebut menjejaskan hak aktiviti riadah serta sukan bagi kira-kira 1,000 orang murid di sekolah berkenaan.
Menurut beliau, bantahan tersebut bukan bertujuan menolak pembangunan fasiliti baharu, sebaliknya membantah lokasi pembinaannya yang mengorbankan padang sedia ada sedangkan terdapat alternatif tapak lain yang lebih wajar.
”Kita menyambut baik pembinaan bangunan baharu, namun padang perlu diselamatkan. Terdapat bangunan lama yang berusia 19 tahun di bahagian belakang yang boleh dirobohkan untuk membina blok baharu tanpa menyentuh kawasan padang,” katanya semasa sesi bantahan kali kedua baru-baru ini.
Senthilkumar turut meluahkan rasa kesal terhadap ketiadaan sesi libat urus yang telus antara pihak sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), dan majoriti ibu bapa berhubung pelaksanaan projek tersebut. Beliau mendakwa perbincangan tertutup diadakan tanpa melibatkan pihak yang membantah, selain timbul persoalan mengenai kelulusan bangunan IBS di sekolah satu sesi.
Selain itu, beliau membangkitkan isu keselamatan murid sekiranya mereka terpaksa menggunakan padang sekolah berhampiran untuk aktiviti sukan, di samping mengecilnya trek larian di padang asal daripada lapan lorong kepada kawasan yang amat terhad.
Sehubungan itu, komuniti terbabit mendesak Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, JPN, dan PPD untuk hadir ke dewan sekolah bagi mengadakan sesi dialog terbuka bersama seluruh ibu bapa demi mencari penyelesaian menang-menang.
#BeritaAAC #IsuPendidikan #RawangKini #SelamatkanPadangSekolah #SuaraIbuBapa