
KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa menghentikan rancangan membawa masuk pekerja asing baharu, sebaliknya memberi tumpuan penuh terhadap penguatkuasaan dan pembersihan lambakan warga asing yang didakwa semakin berleluasa serta menguasai sektor perniagaan tempatan.
Aktivis Sosial merangkap wakil Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, Dato’ Dr. Kalaivanar, menegaskan bahawa tindakan mempercepatkan kelulusan kemasukan pekerja luar tidak wajar dilakukan ketika jutaan warga asing tanpa izin masih berada di dalam negara tanpa penyelesaian tuntas.
Menurut beliau, penguasaan warga asing dalam sektor perniagaan seperti kedai runcit, restoran, permaidani dan perabot bukan sahaja menjejaskan periuk nasi peniaga tempatan, malah mendakwa pendaftaran syarikat menerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) turut disalah guna oleh individu yang hanya berbekalkan pasport.
Beliau menyarankan agar kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, melaksanakan proses pemutihan bersasar kepada warga asing sedia ada yang berkebolehan bertutur dalam bahasa tempatan sebelum mempertimbangkan kuota baharu. Beliau turut menyeru pihak berkuasa seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk bertindak lebih tegas dan telus di lapangan.
#BeritaAAC #IsuWargaAsing #PekerjaAsing #SuaraRakyat #SemasaPanas