
RINCHING, SEMENYIH, 20 Ogos 2026— Aktivis Sosial merangkap wakil Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, Dato’ Dr Kalaivanar, tampil memberi amaran keras kepada pihak berkaitan berhubung isu penyelewengan hak tanah milik masyarakat marhaen yang diperuntukkan bagi pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) serta rumah ibadat.
Bercakap dalam satu sidang media hari ini, beliau menegaskan bahawa tanah seluas 6 ekar yang dituntut penduduk sekitar merupakan hak mutlak warga pekerja ladang yang diasaskan sejak era mendiang Tun V.T. Sambanthan melalui kutipan wang dana amanah. Menurutnya, piawaian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut menetapkan keluasan 6 hingga 8 ekar bagi pembangunan sekolah, namun wujud cubaan mengambil mudah hak berkenaan.
”Ini negara merdeka dan berdaulat. Tanah ini kepunyaan ahli-ahli yang memberi mandat kepada koperasi untuk menguruskan, bukannya harta persendirian. Kami menuntut hak 6 ekar ini dipenuhi,” tegas beliau di hadapan para penyokong.
Dr Kalaivanar turut mendakwa wujud salah laku pentadbiran serta unsur bersekongkol membabitkan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) dan PIBG yang didakwa tidak telus serta gagal mendengar suara rakyat melalui sesi town hall.
Sehubungan itu, pihak jawatankuasa bertindak memberikan tempoh 14 hari (dari tarikh hari ini) kepada pihak pengurusan koperasi, PBT dan agensi berkaitan untuk mengadakan rundingan meja bulat bersama komuniti marhaen. Sekiranya tuntutan ini diabaikan, beberapa tindakan susulan akan digerakkan:
Pelancaran Petisyen Atas Talian (Online Petition) ke seluruh negara bagi mengumpul sokongan rakyat dan ahli koperasi.
Tindakan Kaveat (Caveat) ke atas hartanah terbabit bagi menghalang sebarang transaksi penjualan kepada pihak pemaju.
Mendesak Siasatan Berkanun: Menggesa pihak berwajib termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) membuka Kertas Siasatan (IP) dan membawa isu ini terus ke Parlimen.
#BeritaAAC #HakTanahRakyat #SekolahTamil #KuasaRakyat #DatoDrKalaivanar