
SEMENYIH, 20 Ogos 2026 – Pihak berkuasa digesa mengambil tindakan undang-undang yang tegas dan tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang memasang bendera Malaysia, Jalur Gemilang, secara terbalik.
Aktivis Sosial daripada Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, Dato’ Dr. Kalaivanar menegaskan bahawa insiden bendera terbalik yang sering berulang terutamanya menjelang bulan kebangsaan pada Ogos bukan lagi satu isu kecuaian yang boleh dimaafkan, sebaliknya disifatkan sebagai perbuatan sengaja.
”Tepuk dada tanya selera, ini negara kita. Macam mana kelalaian dan kecuaian boleh berlaku hingga bendera diterbalikkan? Ini saya percaya bukan kecuaian, tetapi disengajakan,” katanya.
Menurut beliau, tindakan tegas perlu diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan membuka kertas siasatan (IP), menangkap individu terlibat, dan mendakwa mereka terus ke mahkamah tanpa memberi ruang kepada kemaafan.
Beliau turut menyatakan rasa kesal kerana perbuatan menunggang-terbalikkan lambang kedaulatan negara ini mencerminkan ketiadaan taat setia kepada Malaysia, sedangkan seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira kaum sentiasa mengutamakan Jalur Gemilang.
Sehubungan itu, beliau mendesak agar pendakwaan segera dilakukan di mahkamah bagi menentukan sama ada pelaku benar-benar siuman atau berniat jahat mencabar kedaulatan negara.
#BeritaAAC #JalurGemilang #BulanKebangsaan #KedaulatanNegara #PolisDirajaMalaysia