
KUALA LUMPUR, 23 Ogos 2026 – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia menggesa pucuk pimpinan parti agar terus memberi kepercayaan dan ruang seluas-luasnya kepada calon wanita muda untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) mahupun Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Ketuanya, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi menegaskan bahawa penyertaan golongan sayap muda parti itu tidak sepatutnya dipinggirkan, apatah lagi komitmen Puteri UMNO telah dibuktikan menerusi kemenangan kerusi yang dipertandingkan sebelum ini.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh pengundi khususnya anak muda di DUN Serom, Johor dan DUN Labu, Negeri Sembilan yang telah memberi mandat kepada calon Puteri pada pilihan raya terdahulu.
Menurutnya, ruang yang diberikan oleh kepimpinan Barisan Nasional (BN) dan UMNO sebelum ini wajar diteruskan dan diperluaskan agar pergerakan itu dapat memaksimumkan sumbangan demi kemenangan parti.
Mengenai agihan kerusi untuk Pilihan Raya Negeri Melaka akan datang (PRN Melaka), beliau menyatakan Puteri UMNO menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan parti, namun menegaskan sayap muda wanita itu tidak wajar diketepikan dalam senarai pencalonan.
“Kalau tanya Puteri, kalau boleh tiga atau lima kerusi pun tak apa, Alhamdulillah. Tapi kita serahkan pada pucuk pimpinan parti supaya tidak lupakan Calon Puteri seperti di Negeri Sembilan.
Mengulas mengenai agenda wanita, Datuk Nurul Amal berkata sasaran 30 peratus penglibatan wanita dalam politik tidak seharusnya menjadi sekadar perbualan kosong, sebaliknya perlu direalisasikan dengan meletakkan wanita muda sebagai pembuat keputusan.
Jelas beliau, peranan pemimpin wanita amat penting bagi membawa suara menyeluruh yang mewakili pelbagai lapisan, termasuk peranan sebagai seorang isteri, ibu, anak, dan pengundi dalam mendepani isu-isu semasa rakyat.
Antara cabaran utama yang giat diperjuangkan oleh Puteri UMNO hari ini adalah isu kesihatan mental dalam kalangan belia, yang disifatkan sebagai masalah kritikal dan kian meningkat namun sering terlepas daripada pandangan masyarakat.
Dalam perkembangan sama, beliau mengumumkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu, YB Siti Nur Umairah (YB Maira) sebagai Exco Lantikan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia mewakili Negeri Sembilan dalam mesyuarat exco kali ketiga bagi tahun ini.
Pada PRN Negeri Sembilan, YB Maira adalah Calon tunggal Puteri UMNO Malaysia yang bertanding dan menang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu yang memperoleh 14,209 undi menewaskan Ahmad Faez Abdul Razak (PH) yang meraih 8,930 undi serta Mohamad Hanifah Abu Baker daripada Parti BERSATU yang mendapat 1,985 undi sekaligus menang dengan majoriti 5,279 undi.
Menjelang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dan sambutan ulang tahun ke-25 penubuhan Puteri UMNO sejak 2001, beliau menyeru seluruh jentera di peringkat cawangan, bahagian, dan negeri—termasuk di Melaka—agar bersiap siaga dengan penuh kematangan dan integriti di bawah panji ‘Sekali Puteri, Selamanya Puteri’.
Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69 yang bakal tiba, beliau turut menyeru seluruh generasi muda agar menghargai erti perjuangan dan kemerdekaan tanah air dengan terus menyumbang secara positif kepada kemakmuran negara.
#PuteriUMNOMalaysia #WanitaMudaBangkit #SuaraWanitaMuda #BeritaAAC #PolitikMalaysia