
KUALA LUMPUR, 25 Ogos 2026 – Isu membabitkan institusi Tabung Haji (TH) serta penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terus mendapat perhatian hangat pelbagai pihak apabila aktivis masyarakat, Zamil Ibrahim tampil menegaskan bahawa institusi umat Islam itu masih mampu diselamatkan.
Bercakap selepas sesi penerangan dan taklimat mengenai RCI Tabung Haji yang turut melibatkan barisan panel serta bekas Ketua Audit Negara, Zamil mendedahkan bahawa pihak akar umbi kini giat mengadakan perbincangan harian susulan pelbagai isu semasa tanah air.
Menurut beliau, salah satu jalan terbaik untuk memulihkan kestabilan dan menghapuskan keresahan dalam kalangan rakyat adalah dengan memberi mandat semula kepada Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang.
Beliau secara terbuka membidas pimpinan Pakatan Harapan (PH) berhubung tohmahan serta manipulasi yang dilemparkan terhadap Tabung Haji, sambil mengingatkan sejarah asal penubuhan institusi tersebut.
”Saya nak beritahu kepada rakyat Malaysia, terutamanya pemimpin Pakatan Harapan, Tabung Haji itu pemimpin Barisan Nasional yang tubuhkan. Takkan kami tubuh kami nak bagi rosak? Bodohlah namanya,” tegas Zamil.
Tambah beliau lagi, perkara yang sama turut terpakai kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang diasaskan oleh pimpinan terdahulu dengan matlamat memperkukuh integriti dan membetulkan kepincangan pentadbiran negara.
Beliau melahirkan rasa kesal apabila kedua-dua institusi penting berkenaan kini didakwa dimanipulasi pihak lawan untuk menjatuhkan dan menyerang pemimpin Barisan Nasional.
Mengulas mengenai hala tuju politik menjelang mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 28 hari bulan ini, Zamil menyatakan bahawa suara akar umbi sudah mempunyai pendirian yang kukuh dan jelas.
”Kalian punya keputusan itu hak kalian, pemimpin Barisan Nasional, terutamanya pemimpin UMNO. Tetapi kami di bawah sudah buat mesyuarat dan keputusan, kami mahu ‘biru’,” katanya.
Beliau optimis bahawa gelombang sokongan kepada panji ‘biru’ mampu mengembalikan pengurusan yang betul, sekali gus menyelamatkan aset kerajaan dan membela hak serta harta rakyat Malaysia secara menyeluruh.
#BeritaAAC #TabungHaji #ZamilIbrahim #BarisanNasional #PolitikMalaysia