
KUALA LUMPUR, 25 Ogos 2026 – Penubuhan Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan (PH 1.0) disifatkan ibarat “tikus membaiki labu” apabila didakwa bukan sahaja gagal mencapai objektif pemulihan, malah membebankan kerajaan dengan hutang defisit mencecah RM14.41 bilion.
Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar Ghulam Mustakim berkata, kesimpulan itu terbukti susulan pendedahan dan pembentangan berfakta oleh dua saksi utama Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH), iaitu Mantan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah serta Mantan Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad.
Menurut beliau, penubuhan UJSB oleh bekas Menteri Kewangan era PH 1.0, Lim Guan Eng, kini dilihat menjadi punca sebenar kepada masalah kewangan yang jauh lebih parah berbanding matlamat asalnya.
”Alhamdulillah, RCI TH yang sebelum ini didedahkan beberapa hari sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dan dilihat bermotifkan politik, kini menyaksikan hakikat sebenar di mana lebih banyak kemudaratan telah dilakukan oleh PH 1.0 berbanding era Barisan Nasional (BN).
”Ia seperti satu jari menunjuk ke arah mangsa, tetapi empat jari lagi menuding kembali kepada pihak yang membuat tuduhan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut mengenai angka kewangan, Gulam Muszaffar menjelaskan bahawa penerbitan sukuk untuk UJSB telah menjadi beban besar kepada kerajaan dengan jumlah hutang, liabiliti, dan komitmen terkumpul mencecah RM25.85 bilion.
Beliau menambah, jumlah liabiliti tersebut jauh mengatasi aset terkumpul UJSB yang hanya bernilai sekitar RM11.44 bilion, sekali gus menyaksikan jurang defisit yang amat membimbangkan sekiranya aset dicairkan ketika ini.
”Pada tahun 2017, defisit TH dilaporkan sekitar RM4.1 bilion, namun defisit UJSB melonjak kepada RM14.41 bilion. Dalam erti kata lain, UJSB telah meningkatkan hutang sebanyak RM10 bilion dalam tempoh tujuh tahun pengoperasiannya,” tegas beliau.
Sehubungan itu, beliau menggesa agar pihak berkuasa dan suruhanjaya berkenaan mengambil tindakan sewajarnya demi memastikan ketelusan pengurusan dana umat Islam serta menyelamatkan ekosistem ekonomi institusi tersebut daripada terus terbeban.
#RCITabungHaji #TabungHaji #UJSB #BeritaAAC #PolitikMalaysia