
KUALA LUMPUR, 2 September 2026 – Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara mendedahkan seramai 700 rakyat Malaysia kini dipercayai berada dalam tahanan pihak berkuasa di Taiwan, susulan peningkatan drastik kes pemerdagangan manusia rentas sempadan.
Aktivis sosialnya, Dato’ Dr. Kalaivanar berkata, sindiket jenayah terancang kini dikesan mengubah modus operandi ke negara seperti Taiwan, Hong Kong, Jepun dan Thailand selepas beberapa kem operasi mereka di kawasan Segi Tiga Emas (Laos, Myanmar, Kemboja) lumpuh akibat tindakan penguatkuasaan.
Menurut beliau, data mengejutkan itu diperoleh selepas waris mangsa berhubung dengan pihak Wisma Putra, di mana rekod tahanan rakyat tempatan di Taiwan melonjak daripada 500 kepada 700 orang dalam tempoh hanya sepuluh hari.
Pendedahan itu dibuat susulan laporan bapa kepada seorang mangsa, Sathis Kumar Maniam, 28, yang dilaporkan berlepas ke Taiwan sebelum 30 Jun 2026 dan kini ditahan di Pusat Tahanan Taoyuan di bawah Kementerian Keadilan Taiwan.
Menurut dokumen Pusat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia di Taipei bertarikh 6 Julai 2026, mangsa dikenakan perintah tahanan selama dua bulan bermula 1 Julai selain dilarang menerima sebarang pelawat atau berkomunikasi dengan pihak luar.
Dr. Kalaivanar menjelaskan bahawa kebanyakan mangsa diperdaya oleh ejen sindiket tempatan dengan tawaran pekerjaan lumayan sebelum dieksploitasi sebagai keldai akaun dan kurier kad ATM di luar negara.
Beliau meluahkan kekecewaan terhadap kelemahan tapisan di pintu keluar sempadan negara serta menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperketat pemeriksaan terhadap belia yang mencurigakan.
Dr. Kalaivanar turut menyeru Menteri Luar Negeri, Dato’ Seri Mohamad Hasan, agar segera mengarahkan pihak kedutaan mengatur sesi libat urus dan memberi taklimat rasmi kepada keluarga mangsa serta menyediakan bantuan guaman di sana.
Selain pihak eksekutif, beliau turut membidas sikap 222 Ahli Parlimen yang didakwa gagal membangkitkan krisis penyeludupan manusia ini secara serius di Dewan Rakyat walaupun ia melibatkan keselamatan nyawa dan ancaman penjualan organ.
Susulan itu, pihak sekretariat memberi tempoh tujuh hari bekerja kepada Wisma Putra dan agensi berkaitan untuk mengeluarkan pelan tindakan konkrit, atau berdepan tindakan demonstrasi bersama keluarga mangsa di hadapan pejabat perwakilan Taiwan.
Beliau menasihatkan golongan muda agar tidak mudah terjerat dengan tawaran kerja luar negara tanpa semakan teliti kerana kesilapan tersebut bukan sahaja meragut kebebasan, malah mengancam keselamatan nyawa mereka sendiri.
#BeritaAAC #KeldaiAkaun #PemerdaganganManusia #WismaPutra #SelamatkanRakyatMalaysia