
PUTRAJAYA, 3 September 2026 — Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) hari ini tampil mengemukakan rayuan dan semakan semula kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berhubung keputusan membatalkan permohonan Kad Pengenalan Pemastautin Tetap (MyPR) seorang pemohon wanita berusia 48 tahun.
Pemohon, Puan Intan, yang dilahirkan di Kampung Simunul, Semporna, Sabah pada tahun 1978, berdepan kekecewaan apabila permohonan MyPR yang dikemukakan pada November 2024 ditolak awal tahun ini atas alasan status bapa kandungnya yang merupakan pemegang dokumen IMM13.
Penasihat Undang-Undang MHO, Encik Falak bersama Panel Peguam MHO, Cik Eva Sofia menegaskan bahawa kehadiran mereka di ibu pejabat JPN adalah bagi menyerahkan memorandum agar pihak berkuasa menilai permohonan tersebut berdasarkan rekod kehidupan dan jasa pemohon, bukan sekadar melihat status dokumentasi ibu bapa secara “pukul rata”.
Difahamkan, Intan mempunyai rekod kelahiran rasmi dan telah memegang kad pengenalan MyKAS selama hampir 30 tahun sejak berusia 18 tahun pada 1996, selain telah memperbaharui dokumen tersebut sebanyak enam kali tanpa sebarang rekod pelanggaran undang-undang.
Bukan sekadar bergantung hidup, Intan telah berhijrah ke Semenanjung dengan kebenaran imigresen dan bekerja selama lebih dua dekad, termasuk berkhidmat sebagai Firewatchman dalam industri minyak dan gas (O&G) dengan kelayakan serta sijil keselamatan industri yang sah.
Menurut Cik Eva, isu ini bukan tuntutan kewarganegaraan automatik, sebaliknya persoalan mengenai ketelusan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) bertulis JPN sekiranya status IMM13 bapa kandung dijadikan asas mutlak untuk menolak permohonan seorang individu yang membesar dan berbakti di negara ini.
Lebih memilukan, kekangan status MyKAS tersebut turut membataskan pergerakan Intan sehingga beliau tidak dapat pulang menziarahi jenazah ibunya yang meninggal dunia di Sabah pada Januari 2025 ekoran ketiadaan surat pelepasan perjalanan daripada pihak imigresen.
”Masa arwah mak saya meninggal dunia pun, saya hanya mampu melihat menerusi panggilan video (video call) sahaja dari Johor,” luah Intan sebak ketika ditemui media di lobi JPN hari ini.
MHO menegaskan bahawa kes sebegini mencerminkan dilema ribuan pemegang dokumen sementara di Malaysia yang memerlukan jalan keluar dan kestabilan dokumentasi selepas puluhan tahun membina kehidupan sebagai tenaga kerja sah.
Sehubungan itu, MHO mendesak agar JPN memberikan pertimbangan belas ihsan dan sewajarnya terhadap semakan ini atau mengemukakan penjelasan bertulis mengenai asas perundangan bagi penolakan tersebut demi keadilan pemohon.
Memorandum hari ini diserahkan oleh Setiausaha Kerja MHO, Encik Izzat Izzuddin Idris kepada wakil JPN.
#BeritaAAC #$suDokumentasi $MyKAS #MHO #KeadilanUntukIntan