SUBANG, 31 Ogos 2026 – Semangat kemerdekaan disemarakkan dengan cara tersendiri apabila deruman puluhan jentera antik dan klasik memeriahkan acara tahunan Merdeka Charity Drive anjuran My Classic Cars bagi meraikan lebih 120 anak-anak yatim dan kanak-kanak kurang bernasib baik hari ini.

Program tradisi yang memasuki edisi ke-13 ini menyaksikan kehadiran sekitar 230 peserta merangkumi pemilik kenderaan klasik, rakan korporat, sukarelawan serta anak-anak istimewa dari lapan buah rumah kebajikan terpilih di sekitar Lembah Klang.


Pengarah My Classic Cars, Mr. Rukshan Munesinghe berkata, kelainan penganjuran kali ini terletak pada pertambahan jumlah badan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan kebajikan yang disantuni, berbanding kebiasaan enam buah rumah pada tahun-tahun sebelumnya.

Antara pertubuhan yang diraikan termasuk Gurpuri Foundation, Persatuan Kebajikan Ulin Nuha, persatuan penjagaan kanak-kanak spastik dari Klang (Persatuan Spastik Kanak-Kanak Selangor & WP), Lighthouse serta Persatuan Mekalai.

Menurut Rukshan, pihak penganjur menyasarkan kutipan dana minimum sebanyak RM4,000 bagi setiap rumah kebajikan, menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan asas mencecah RM32,000 dan dijangka meningkat hasil sumbangan saat akhir para penaja serta individu dermawan.

Sementara itu, Penaung My Classic Cars, Dato’ Haji Azizan Noordin melahirkan rasa bangga dengan sokongan padu lebih 300 ahli kelab, di mana 60 hingga 70 buah jentera vintaj seperti BMW, Land Rover hingga ke Proton klasik turun padang memeriahkan konvoi amal berkenaan.

Kanak-kanak diraikan seawal pagi dengan jamuan sarapan khas sebelum dibawa menaiki kereta klasik idaman masing-masing menuju ke Kelab Golf Negara Subang (KGNS) bagi menyertai pelbagai aktiviti sukaneka dan permainan santai.
Jelas Dato’ Azizan, objektif utama program ini bukan sahaja berkongsi hobi automotif, malah memberi peluang kepada golongan kurang berkemampuan untuk merasai sendiri kehangatan serta kegembiraan sambutan bulan kemerdekaan negara.

Mengulas mengenai perancangan masa hadapan kelab, Rukshan turut mendedahkan pihaknya bakal menganjurkan cabaran pemanduan merentas sempadan ke Thailand pada Oktober depan sebelum menutup tirai tahun ini dengan acara kemuncak, Malaysian Classic Car Concours di Petaling Jaya pada Disember.

#BeritaAAC #MyClassicCars #MerdekaCharityDrive #KonvoiKlasikAmal #JiwaMerdeka