KUALA LUMPUR, 4 September 2026 – Presiden Parti Makkal Sakthi Malaysia, Datuk Seri R.S. Thanenthiran menyifatkan keputusan mahkamah memberikan perintah penangguhan (stay) terhadap tindakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ke atas Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai satu ketetapan yang adil dan wajar dipuji.
Beliau menegaskan, kepuasan itu bukan kerana keputusan tersebut memihak kepada mereka semata-mata, sebaliknya didorong oleh kejelasan hujah penghakiman yang telus dalam memperincikan asas penangguhan berkenaan.
Menurutnya, Najib kini sedang dan telah pun melalui beberapa siri perbicaraan mahkamah yang berat melibatkan pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA).
Justeru, beliau mempersoalkan logik di sebalik tindakan mengenakan cukai terhadap dana yang didakwa sebagai wang haram atau curi, selain membangkitkan isu percukaian berganda (double taxation).
”Kalau duit itu duit curi, mana boleh kena cukai? Ini semua telah disebut dalam penghakiman pagi ini. Hakim wajar dipuji kerana memberi penjelasan yang cukup jelas,” katanya dalam satu temu bual.
Thanenthiran turut menekankan prinsip bahawa keadilan bukan sahaja perlu ditegakkan, malah mesti dilihat telah dilaksanakan (justice must be seen to be done) terhadap pihak yang tertuduh.
Beliau memberi amaran bahawa tindakan memufliskan seseorang secara terburu-buru adalah langkah berbahaya kerana status kebankrapan amat sukar ditarik balik sekiranya berlaku kesilapan.
Mengulas lanjut, beliau menyifatkan tuntutan cukai berjumlah RM1.6 bilion itu sebagai satu tekanan melampau dan sarat dengan unsur penganiayaan serta pendakwaan politik.
Malah katanya, dana sumbangan atau derma yang telah dipulangkan semula turut dikenakan cukai oleh pihak LHDN, sekali gus menimbulkan tanda tanya terhadap kewajaran tindakan agensi berkenaan.
Thanenthiran bersyukur kerana keputusan mahkamah tersebut membuka kembali ruang undang-undang yang sewajarnya kepada bekas Perdana Menteri itu bersama anaknya, Datuk Mohd Nazifuddin Najib, untuk terus membela diri mengikut lunas keadilan.
.#BeritaAAC #NajibRazak #LHDN #MakkalSakthi #KeadilanUntukNajib