
KUALA LUMPUR, 3 September 2026 – Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) mengumumkan senarai 12 pemain lelaki dan sembilan pemain wanita yang bakal menggalas cabaran negara pada temasya Sukan Asia di Aichi-Nagoya, Jepun, September ini.
Presiden PSM merangkap Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke temasya itu, YB Datuk Wira Sumali Reduan, memaklumkan skuad lelaki akan beraksi dalam acara regu dan regu berpasukan, manakala skuad wanita pula mengambil bahagian bagi acara quadrant serta beregu (double).

Menurut beliau, pemain lelaki dijadualkan berlepas lebih awal susulan kejohanan mereka yang bermula pada 20 September, sementara acara membabitkan skuad wanita akan menyusul sedikit lewat.
PSM turut meletakkan sasaran awal sekurang-kurangnya satu pingat emas bagi kem sepak takraw negara, walaupun sasaran rasmi keseluruhan kontinjen hanya akan diumumkan pada 8 September ini sempena majlis penyerahan Jalur Gemilang oleh Menteri Belia dan Sukan.
Mengulas mengenai kekuatan skuad, Sumali menegaskan keputusan mengekalkan barisan 12 pemain daripada temasya Sukan SEA terdahulu dibuat kerana mereka kini berada pada tahap prestasi terbaik, matang dan memiliki ketahanan mental tinggi.
Beliau menjelaskan bahawa Sukan Asia adalah medan memburu kilauan pingat dan bukannya pentas mencuba nasib atau memberi pendedahan kepada pemain muda secara sewenang-wenangnya.
Dalam pada itu, beliau turut memberi amaran agar barisan negara tidak hanya memfokuskan kepada ancaman Thailand, sebaliknya berwaspada terhadap kebangkitan pasukan seperti Vietnam, Myanmar, Jepun, Indonesia, Laos dan Filipina yang kini menunjukkan peningkatan mendadak.
Mengenai gandingan utama dalam acara regu, beliau berkata barisan kejurulatihan sedang memperhalusi percaturan terbaik menerusi perlawanan ujian dalaman sebelum membuat keputusan muktamad.
Menyentuh spekulasi kehadiran pemain utama Thailand yang terpalit isu penggantungan sebelum ini, Sumali berpandangan perkara itu tidak wajar berlaku kerana tempoh pendaftaran senarai pendek telah ditutup lebih awal sebelum hukuman ditarik balik.
Walau bagaimanapun, beliau menyerahkan sepenuhnya isu teknikal tersebut kepada kebijaksanaan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) dan menegaskan kem negara tidak gentar serta bersedia menentang mana-mana pihak.
Sumali turut menasihati barisan atlet agar menjaga kebajikan, mengekalkan konsistensi mental dan mengelakkan kecederaan pada minggu-minggu akhir latihan demi memastikan momentum cemerlang dapat dibawa sehingga ke pentas akhir.
#BeritaAAC #SepakTakrawMalaysia #SukanAsia #AichiNagoya #DemiMalaysia