KUALA LUMPUR – Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Dato’ Paduka Dr. Ibrahim Ali meluahkan rasa kesal dan terkejut berikutan rentetan insiden kematian pelajar di sekolah yang terus berulang tanpa penyelesaian konkrit.
Beliau menegaskan, keselamatan pelajar sewajarnya diletakkan sepenuhnya di bawah tanggungjawab pentadbir serta guru-guru di sekolah masing-masing dan bukannya semata-mata mengharapkan kementerian.
”Sekolah mempunyai puluhan hingga ratusan guru termasuk Guru Besar dan Guru Penolong Kanan. Di manakah peranan mereka dalam memantau keselamatan pelajar ketika berada di kawasan sekolah?” soalnya dalam satu sidang media.
Beliau turut mengkritik sikap segelintir pendidik yang didakwa kurang proaktif dan hanya berkurung di bilik guru atau pejabat selepas tamat waktu mengajar atau ketika waktu rehat.
”Janganlah habis waktu mengajar, guru-guru masuk bilik main telefon, tengok TikTok atau leka dengan WhatsApp. Patutnya buat rondaan ke hulu ke hilir, pantau apa budak-budak buat di dewan atau padang,” tegasnya.
Mengulas mengenai cadangan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), Ibrahim Ali berpandangan inisiatif itu menelan belanja tinggi dan hanya berfungsi merakam kejadian selepas berlaku, bukannya mencegah secara langsung.
Katanya, pencegahan sebenar memerlukan usaha bersama (concerted effort) serta keprihatinan fizikal daripada guru-guru itu sendiri demi keselamatan murid yang dianggap seperti anak sendiri.
Beliau turut menyeru Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) memainkan peranan lebih aktif melipatgandakan program sahsiah dan penerapan disiplin agar insiden tidak diingini dapat dicegah dari awal.
Menyentuh desakan ahli politik yang menuntut penjelasan Menteri Pendidikan di Parlimen, beliau menyifatkan kebanyakan reaksi pemimpin politik hanyalah sekadar sandiwara.
”Bila berlaku insiden, barulah heboh nak tubuh jawatankuasa, nak siasat segera atau minta penjelasan di Parlimen. Ini budaya lama, sekadar mahu cari political mileage kononnya prihatin, tetapi tiada cadangan tuntas,” bidasnya.
#BeritaAAC #IbrahimAli #IsuPelajar #KeselamatanSekolah #BuliSekolah