KUALA LUMPUR – Yayasan PEKEMA terus komited memperkasa kebajikan dan pendidikan anak bangsa menerusi penganjuran inisiatif kebajikan berskala besar bernilai lebih RM1.3 juta yang disasarkan kepada penuntut institusi pengajian tinggi, khususnya daripada keluarga B40 dan asnaf.

Presiden Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA), Datuk Hj. Mohamed Nazari Noordin berkata, inisiatif berkenaan merangkumi agihan dana Program Dermasiswa Yayasan PEKEMA bernilai RM900,000 kepada 150 pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi meringankan beban kewangan mereka.
Selain dermasiswa pengajian, Yayasan PEKEMA turut memperuntukkan RM400,000 bagi program Gerobok Rezeki yang memanfaatkan 20 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di seluruh negara sepanjang tahun ini.
Menurut beliau, program Gerobok Rezeki itu dilaksanakan secara berfasa di mana Fasa 1 pada Mac lalu telah menyalurkan RM220,000 kepada 11 IPTA, manakala Fasa 2 memperuntukkan RM180,000 kepada baki sembilan IPTA dengan setiap institusi menerima RM20,000.
”Sumbangan RM20,000 bagi setiap universiti ini disalurkan dalam bentuk dana tunai untuk pihak pengurusan membeli barangan keperluan makanan asas seperti mi segera, minuman bermalt dan makanan kering. Bekalan ini ditempatkan di gerobok khas agar pelajar yang kesempitan atau kelaparan boleh mengambilnya pada bila-bila masa,” katanya.
Mohamed Nazari menjelaskan, pemilihan IPTA dibuat menerusi perbincangan jawatankuasa khas bersama Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) masing-masing bagi mengenal pasti bilangan mahasiswa yang benar-benar memerlukan bantuan.
Mengulas mengenai bantuan pendidikan berterusan, beliau memaklumkan Yayasan PEKEMA menerima sekitar 10 hingga 20 permohonan setiap bulan dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, melibatkan bantuan yuran pengajian tertunggak serta sumbangan komputer riba bagi kemudahan pembelajaran.
Tambah beliau, sumbangan CSR yayasan tidak terhad kepada sektor pendidikan semata-mata, sebaliknya sentiasa diperluas merangkumi bantuan anak yatim, program ‘Shopping Raya’ bersama asnaf, serta sumbangan kebajikan kepada golongan artis veteran dan bekas atlet negara.









#BeritaAAC #YayasanPEKEMA #BantuanMahasiswa #GerobokRezeki #AnakB40IPTA