KUALA LUMPUR, 6 Oktober 2026 – Sikap Ahli Parlimen Kampar daripada DAP, Chong Zhemin, yang membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Timbalan Perdana Menteri disifatkan sebagai satu tindakan terpilih dan berpura-pura.
Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar, mendakwa laporan berhubung dakwaan perbelanjaan lebihan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berjumlah RM2.1 bilion itu memperlihatkan amalan dwistandard yang jelas dalam kalangan pemimpin parti tersebut.
Beliau mempersoalkan keberanian wakil rakyat DAP itu yang disifatkan gagal bersuara dalam isu kutipan agensi MYEG berjumlah RM314 juta yang didakwa masih belum dipulangkan kepada kerajaan sejak Mei 2026.
Menurut Gulam, kebisuan Chong dalam isu MYEG tersebut menimbulkan tanda tanya besar, apatah lagi portfolio berkaitan diterajui oleh Setiausaha Agung DAP sendiri selaku Menteri Pengangkutan.
”Adakah disebabkan YB Menteri Pengangkutan itu adalah SUA DAP sendiri membuatkan anda menikus dan berdiam diri? Double standard betul,” bidas beliau dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau turut membandingkan impak kedua-dua isu berkenaan dengan menegaskan bahawa perbelanjaan KKDW tidak melibatkan isu wang lesap atau kerugian langsung kepada perbendaharaan negara.
Sebaliknya, Gulam menegaskan dana RM314 juta dalam isu MYEG berdepan risiko besar untuk lesap sekiranya tiada tindakan tegas dan semakan telus diambil oleh pihak berwajib.
Mengulas lanjut, beliau turut menyenaraikan beberapa kontroversi kerugian membabitkan kementerian di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH), termasuk dakwaan kehilangan wang KWAP berjumlah RM200 juta serta kerugian Kiosk KPKT sebanyak RM150 juta.
Tegas beliau, semua isu tersebut melibatkan wang rakyat yang sepatutnya turut diberi perhatian serius serta siasatan menyeluruh oleh wakil rakyat yang kononnya memperjuangkan hak rakyat.
Gulam menyimpulkan tindakan pemimpin DAP itu hanyalah sandiwara politik yang memperlihatkan sikap berlagak suci apabila mengkritik pihak lain, namun mengunci mulut apabila isu melibatkan rakan separti sendiri.
”Inilah sikap sebenar AP DAP, bilamana terkena batang hidung sendiri, diam seribu bahasa. Tetapi bila orang lain, dialah seolah-olah juara isu rakyat, seolah-olah mereka sahaja yang maksum dan betul,” katanya.
#BeritaAAC #PolitikMalaysia #MYEG #IsuRakyat #SPRM