KUALA LUMPUR, 10 Oktober 2026 – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) menyifatkan Belanjawan 2027 sebagai sebuah belanjawan yang hebat dan sarat dengan pelbagai inisiatif untuk rakyat, namun menegaskan kejayaan hakikinya bergantung sepenuhnya kepada tahap pelaksanaan yang bersih dan telus.
Presiden PUTRA, Dato’ Ibrahim Ali berkata, walaupun belanjawan bernilai RM459.8 bilion itu dilabel sesetengah pihak sebagai populis menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16), kerajaan sememangnya wajar menggunakan kuasa untuk membela rakyat terbanyak asalkan tidak disalahgunakan demi kepentingan kroni politik.
Beliau memuji inisiatif pro-rakyat seperti kenaikan gaji minimum kepada RM2,000, peningkatan pencen minimum kepada RM1,350, pelepasan cukai individu sehingga RM12,000, serta kelonggaran bayaran balik pinjaman PTPTN bagi golongan B40 dan M40.
Bagaimanapun, beliau menzahirkan rasa sedih dan terkilan kerana agenda pemilikan hartanah Melayu dan Bumiputera di bandar dan pusat perdagangan utama masih dipinggirkan tanpa suntikan dasar yang agresif.
Bagi mengatasi isu kekangan modal dan syarat bank yang ketat, PUTRA mengulangi desakan agar Tabung Khas Pemilikan Hartanah Bumiputera ditubuhkan dengan dana permulaan sebanyak RM50 bilion, selain kemudahan pembiayaan sehingga 100 peratus untuk rumah dan premis perniagaan.
Ibrahim turut meluahkan kekecewaan apabila dua cadangan strategik PUTRA—iaitu penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Hak Istimewa Orang Melayu serta penggubalan Akta Sabotaj Ekonomi Negara (ASEN) bagi memerangi ketirisan dan rasuah—masih belum mendapat perhatian kerajaan.
Mengulas mengenai dana gergasi hampir RM460 bilion itu, beliau memberi amaran agar wang negara tidak tiris di tangan kelompok tertentu sehingga belanjawan berkenaan akhirnya sekadar menjadi ‘angan-angan Mat Jenin’.
Tegasnya, kerajaan wajib membentangkan pencapaian dan prestasi belanjawan secara berkala serta mencadangkan agar Menteri Kewangan II membentangkan laporan prestasi tahun sebelumnya pada pagi Jumaat sebelum belanjawan tahun baharu diumumkan.
Menyentuh sesi perbahasan di Dewan Rakyat, beliau turut mengingatkan Ahli-Ahli Parlimen agar berbahas berlandaskan fakta pelaksanaan secara bersungguh-sungguh dan tidak sekadar bersikap ‘lepas batuk di tangga’ atau ‘makan gaji buta’.
“Pada akhirnya, janganlah berterusan rakyat hanya menang sorak, kampung tergadai,” ujar beliau mengingatkan kerajaan agar memastikan setiap ringgit benar-benar sampai kepada kumpulan sasaran.
#Belanjawan2027 #IbrahimAli #BeritaAAC #HartanahBumiputera #KerajaanMADANI