
KUALA LUMPUR, 10 Oktober 2026 – Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara mengecam sekeras-kerasnya tindakan sekumpulan individu yang bertindak merobohkan kawasan penempatan serta premis perniagaan milik penduduk tempatan menggunakan jentolak tanpa sebarang perintah mahkamah yang sah.
Aktivis Sosial dari sekretariat, Dato’ Dr Kalaivanar menegaskan bahawa tindakan menceroboh dan merosakkan harta benda penduduk itu disifatkan sebagai keterlaluan serta mencabar kedaulatan undang-undang negara.
Menurut beliau, insiden berkenaan turut mencetuskan kekecohan apabila seorang penduduk tempatan bukan sahaja dirampas telefon bimbitnya ketika cuba merakam kejadian, malah ditampar oleh kumpulan terbabit.
”Kita ada undang-undang dan negara ini berdaulat. Mana perintah mahkamah (court order)? Mengapa jentolak boleh sewenang-wenangnya masuk meroboh struktur tanpa kehadiran bailif mahkamah atau pihak berkuasa yang sah?” soalnya tegas dalam satu kenyataan media.
Mengulas lanjut, Dr Kalaivanar mempersoalkan ketelusan serta integriti pihak Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Wilayah Persekutuan yang didakwa masih belum memberikan sebarang ketetapan berhubung status permohonan Lesen Menduduki Sementara (TOL) penduduk.
Beliau mendakwa pihak penduduk telah menduduki kawasan berkenaan selama bertahun-tahun dan telah memohon lesen tersebut secara rasmi, namun urusan perbincangan selama lebih lima bulan bersama pegawai kanan PTG didakwa sering berdolak-dalih.
Pada masa sama, timbul pertikaian apabila tanah seluas itu didakwa telah diberikan kepada sebuah yayasan yang diragui status dan operasinya, sedangkan penduduk tempatan yang mencari rezeki di situ terus dipinggirkan.
Beliau turut meluahkan rasa kesal terhadap layanan ‘berat sebelah’ yang berlaku di ibu kota, di mana warga asing didakwa bebas membuka perniagaan haram tanpa tindakan tegas, manakala warganegara tempatan pula ditekan sewenang-wenangnya.
Susulan kejadian pencerobohan dan kekerasan itu, laporan polis telah dibuat dan pihak Dr Kalaivanar menuntut Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas tanpa kompromi.
Beliau menggesa siasatan dijalankan di bawah Seksyen 425 dan 427 Kanun Keseksaan bagi kesalahan khianat dan kerosakan harta benda, serta Seksyen 441 dan 447 bagi kesalahan menceroboh.
Dr Kalaivanar turut memberikan tempoh sehingga hari Rabu kepada pihak PTG untuk tampil memberikan penjelasan rasmi dan menyelesaikan pertikaian tersebut secara profesional.
Sekiranya tiada sebarang tindakan diambil, pihaknya tidak teragak-agak untuk turun bersama pihak media ke Pejabat Wilayah Persekutuan bagi menuntut keadilan buat penduduk yang teraniaya.
#BeritaAAC #TuntutKeadilan #IsuTanahKL #PDRM #DrKalaivanar