
KUALA LUMPUR, 10 Oktober 2026 – Teka-teki dan penantian peminat akhirnya terjawab apabila Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, sah bergelar suami kepada selebriti terkenal, Dayang Nabellah Awang Astillah atau Bella Astillah, dengan sekali lafaz dalam majlis akad nikah penuh bermakna pagi tadi.
Ikatan suci ini dimeterai selepas pasangan berkenaan mengikat tali pertunangan selama enam bulan, sekali gus menamatkan spekulasi ramai mengenai fasa baharu perhubungan mereka.

Melakar sejarah tersendiri, pasangan merpati dua sejoli ini menjadi mempelai pertama yang melangsungkan pernikahan di mercu tanda ikonik negara, Presint Merdeka 118, dengan pemandangan memukau di aras 118 pada jam 9 pagi.
Majlis tersebut disempurnakan oleh bekas Mufti Wilayah Persekutuan, YABhg. Dato’ Seri Dr. Hj Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebagai jurunikah dan wakil wali, dengan berwalikan bapa pengantin perempuan, Encik Awang Astillah Abdullah.

Pada majlis berkenaan, Syed Saddiq menyerahkan mas kahwin berjumlah RM500, di samping pertukaran hantaran serba istimewa dan bermakna iaitu tujuh dulang daripada pihak lelaki berbalas sembilan dulang daripada pihak Bella.

Antara barang hantaran yang mencuri perhatian ramai termasuk pakej perlindungan insurans, caruman KWSP i-simpan, biasiswa pengajian sarjana, pakej umrah, serta tiket pertandingan larian ULTRAMAN Australia 2027 dan emas hantaran unik bertemakan Gunung Kinabalu dan Triatlon.

Mengangkat tema Islamic Arabic serba putih, kedua-dua mempelai kelihatan memukau dan anggun mengenakan busana perkahwinan eksklusif sentuhan pereka fesyen terkenal, Zaimi Zulkafli.
Suasana majlis bertambah seri dengan kehadiran kira-kira 255 tetamu jemputan yang terdiri daripada ahli keluarga terdekat serta barisan pemimpin negara dan tokoh politik serantau.

Antara tetamu kenamaan yang hadir memberikan restu termasuk YABhg. Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, YB Hannah Yeoh, YB Khairy Jamaluddin, serta perwakilan antarabangsa dari Singapura seperti YB Tuan Ong Ye Kung dan Encik Pritam Singh.

Detik bersejarah penyatuan dua figura tumpuan ini turut disiarkan secara langsung merentasi pelbagai saluran Astro termasuk Astro Ria, Astro Awani, Astro Prima, Sooka, Astro GO serta radio ERA bagi membolehkan peminat di seluruh negara meraikan bersama.

Bagi peminat yang ingin mengikuti sorotan penuh perjalanan cinta pasangan ini, siri khas ‘Walimatulurus Bella Astillah & Syed Saddiq’ bakal disiarkan setiap Selasa jam 11 malam di Astro Ria (Saluran 104) dan strim menerusi Sooka.
#SyedSaddiqBellaAstillah #WalimatulurusBellaSaddiq #BeritaAAC #Merdeka118 #TrendingMalaysia