KUALA LUMPUR, 11 Oktober 2026 – Bajet 2027 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini disifatkan sebagai ‘bajet diabetes’ berikutan lambakan pemberian wang tunai yang dilihat sarat dengan motif politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar Ghulam Mustakim mendakwa pendekatan kerajaan kali ini seolah-olah menghidupkan kembali naratif “Cash is King” menerusi pelbagai bantuan tunai secara langsung kepada golongan sasar.
Beliau berkata, bantuan seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Sumbangan Tunai Rahmah (STR), bantuan khas penjawat awam, elaun imam hingga pengusaha teksi sememangnya tidak menyalahi undang-undang, namun motif di sebaliknya mudah dihidu oleh rakyat.
”Rakyat bukan bodoh, mereka boleh hidu bajet ini adalah bajet beli hati, beli jiwa dan beli undi rakyat untuk sokongan PRU16.
”Nasihat saya kepada rakyat, ambil selagi boleh tetapi bila PRU16 nanti, undi anda adalah rahsia,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Selain itu, Gulam turut menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap jurang defisit fiskal negara yang disifatkannya berada pada tahap menakutkan, dengan perbelanjaan mencecah RM510 bilion berbanding unjuran hasil hanya RM380 bilion.
Menurutnya, defisit sebanyak RM130 bilion itu dikhuatiri memaksa kerajaan terus meminjam, sekali gus meningkatkan lagi beban hutang negara yang kini sudah pun berada di sekitar paras RM1.4 trilion.
Jelas beliau, bayaran faedah khidmat hutang negara kini dianggarkan mencecah hampir 17 peratus daripada hasil persekutuan—bermakna bagi setiap RM1 cukai dikutip, sebanyak 17 sen hangus hanya untuk melunaskan faedah pinjaman.
Mengulas lanjut, Gulam menyifatkan belanjawan ini sebagai pertaruhan terakhir Perdana Menteri yang didakwanya sedang panik susulan kekalahan Pakatan Harapan dalam beberapa siri Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.
Beliau turut mendakwa komitmen reformasi yang dilaungkan selama ini sudah tersasar jauh apabila pelbagai janji terdahulu gagal direalisasikan sepanjang lima kali pembentangan bajet di bawah pentadbiran semasa.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat untuk melakukan anjakan politik dan menyokong kembali kestabilan menerusi ‘Agenda Malaysia Biru’ demi menjamin kemakmuran jangka panjang negara.
#Bajet2027 #BeritaAAC #PolitikMalaysia #PRU16 #HutangNegara